Pelumba Petronas Yamaha bermula di barisan hadapan

KUALA LUMPUR,. Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) — Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli meningkatkan peluang menamatkan perlumbaan di podium, selepas kedua-dua mereka bermula di barisan hadapan dalam perlumbaan GP Aragon di Litar Aragon Sepanyol hari ini.

Pada sesi kelayakan semalam, pendahulu Kejuaraan MotoGP Quartararo, menunjukkan tunggangan sensasi selepas mencatatkan masa terpantas 1 minit 47.076 saat, sekali gus menduduki petak hadapan buat kali keempat musim ini.

Terdahulu sewaktu sesi latihan ketiga, Quartararo terlibat dalam kemalangan dan telah dikejarkan ke pusat perubatan, namun diistiharkan sihat oleh pegawai perubatan, selepas tidak mengalami sebarang kecederaan teruk pada dirinya.

Sebelum ini pelumba Perancis berusia 21 tahun itu, mengungguli petak pertama dua kali berturut-turut di GP Sepanyol dan GP Andalusia di Litar Jerez, selain di GP Perancis di Litar Le Mans.

“Sejujurnya selepas kemalangan (sebelah pagi), saya fikir saya tidak akan dapat berlumba pada sebelah petang (sesi kelayakan). Bila saya jatuh saya rasa amat sedih.

“Ia agak sukar untuk saya kerana terlibat dalam kemalangan, pagi semalam juga saya kemalangan sebelum kejadian hari ini. Biasanya saya akan ambil sedikit masa untuk pulih, dan pada FP4, ia tidak mengecewakan, tetapi saya sepatutnya boleh catatkan masa lebih baik,” katanya.

Rakan sepasukannya Morbidelli, menduduki tempat keempat selepas mencatatkan masa 1 minit 47.317 saat.

Pelumba Monster Energy Yamaha, Maverick Vinales dari Perancis dan pelumba Great Britain Cal Crutchlow dari LCR Honda Castrol, masig-masing akan memulakan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga selepas mencatatkan masa 1:47.122 saat dan 1:47.305 saat.

Sementara itu, pelumba Petronas Sprinta Racing Moto3 — John McPhee dari Scotland dan pelumba Malaysia Khairul Idham Pawi, masing-masing berada di tempat ke-10 dan ke-28.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )