Pemain badminton negara bakal rasai getaran awal Olimpik di Ehime
KUALA LUMPUR,. Pemain badminton negara akan merasai getaran awal Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila mereka menjalani sesi latihan di Ehime, Jepun dari 22 hingga 29 Dis ini, nanti.
Duta Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka berkata latihan di Jepun adalah satu langkah positif diambil Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam membantu pemain badminton melakukan persiapan untuk Olimpik.
“Saya sendiri gembira melihat pasukan Malaysia pergi ke Ehime dan Ehime adalah tempat yang baik untuk berlatih tetapi pada masa yang sama di Ehime, anda boleh menikmati mata air panas dan makanan.
Saya berharap Ehime akan menyediakan persekitaran yang amat baik kepada pasukan kebangsaan untuk beraksi dengan lebih baik dan memenangi pingat emas, perak atau sebarang pingat di Tokyo 2020,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.
Oka melakukan lawatan rasmi ke BAM bersempena dengan kerjasama dalam menyediakan kemudahan latihan kepada pemain kebangsaan sebagai persediaan untuk Olimpik 2020.
“Saya mendapati kemudahan yang ada di sini (Akademi Badminton Malaysia) mengagumkan selepas melihat sendiri gimnasium latihan dan melihat kembali sejarah pemain hebat dan kejayaan skuad badminton Malaysia . Saya berharap persahabatan antara kedua-dua negara akan berterusan,” katanya.
Mengenai persiapan Sukan Olimpik 2020, acara badminton yang dijadualkan berlangsung dari 25 Julai ke 3 Ogos, tahun hadapan, Oka berkata persiapan acara sukan itu berjalan lancar.
“Persiapan sedang berjalan dan Tokyo mengalu-alukan semua atlet dari seluruh dunia termasuk pasukan badminton Malaysia.
Kami dengan sepenuh hati mengalu-alukan setiap pemain datang ke Jepun dan memberikan aksi terbaik mereka di Tokyo,” katanya.
Dua puluh pemain badminton Malaysia yang akan menjalani latihan di Ehime, termasuk Lee Zii Jia, Cheam June Wei (perseorangan lelaki); Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (beregu lelaki); Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran).
— BERNAMA