Pemain Liga-M jadi senjata Garuda

KUALA LUMPUR,.Selain berdepan dengan cabaran provokasi penyokong tuan rumah dalam aksi sulung kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Indonesia pada Khamis ini, skuad Harimau Malaya juga perlu bersedia untuk menghadapi satu lagi cabaran lain.

Ia berikutan beberapa pemain yang mempunyai pengalaman beraksi di Liga Malaysia (Liga-M) telah disenaraikan dalam skuad Garuda, yang dijangka bakal memberikan tentangan sengit kepada pasukan negara pada aksi Kumpulan G itu di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, nanti.

Selepas bekas pemain Selangor dan Kedah, Andik Vermansah yang kini beraksi dengan Madura United; bekas pemain Selangor, Evan Dimas (Barito Putera); dan bekas pemain Kelantan, Ferdinand Sinaga (PSM Makassar) telah disenaraikan sejak awal, dan kini jurulatih Indonesia, Simon McMenemy telah memanggil pemain muda, Saddil Ramdani.

Pemain tengah berusia 20 tahun itu yang beraksi bersama Pahang sejak awal musim ini, dipanggil menggantikan pemain naturalisasi kelahiran Nigeria, Greg Nwokolo yang cedera.

Perkara sudah pasti akan menimbulkan sedikit kerisauan buat ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dan anak-anak buahnya kerana pemain-pemain tersebut sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan pemain Malaysia.

“Ya memang ada kemungkinan besar pemain ini memaklumkan kepada jurulatih mereka apa kekuatan dan kekurangan pemain Malaysia. Kita masih pergi dengan misi kita dan perlu berhati-hati, tidak boleh membuat kesilapan yang boleh menjejaskan kempen kita,” kata Cheng Hoe.

“Sebab itu saya ingatkan pemain supaya fokus dari minit pertama lagi. Dalam bola sepak ini, kalau kita pergi dengan persediaan yang terbaik, kita boleh mengatasi perkara sedemikian, tetapi itu atas keyakinan individu dan teamwork.

“At the same time, players kena yakin apabila turun ke perlawanan nanti. Selain itu, corak perlawanan Indonesia ketika menentang Malaysia dalam 10 tahun ini, mereka memang bermain macam rival,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini, hari ini.

Sementara itu, pemain tengah negara, Muhamad Nor Azam Abdul Azih yang beraksi bersama Saddil di skuad Tok Gajah, mengakui bahawa kehadiran Saddil dan Andik menjadi kelebihan buat skuad Garuda.

“Bagaimanapun kami tetap fokus pada perlawanan dan akan cuba lakukan yang terbaik pada untuk membawa pulang mata. Kami memang menyangka perlawanan yang sengit kerana setiap kali bertemu Malaysia, semangat mereka lain macam,” katanya.

Skuad negara dijangka berlepas ke Jakarta pada pagi esok menjelang perlawanan itu, selepas tewas tipis 0-1 menentang Jordan pada aksi persahabatan pada Jumaat lalu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This