Pemakaian pelitup muka dalam penerbangan AirAsia Malaysia kini atas pilihan tetamu

Pemakaian pelitup muka dalam penerbangan AirAsia Malaysia kini atas pilihan tetamu

KUCHING,. Susulan pengumuman kerajaan mengenai pemansuhan pemakaian pelitup muka dalam pesawat, AirAsia Malaysia (Kod Penerbangan: AK) turut memansuhkan syarat pemakaian pelitup muka di dalam penerbangannya berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan medianya hari ini, pemakaian pelitup muka di dalam penerbangan AirAsia Malaysia adalah atas pilihan para tetamu.

Ia bagaimanapun terkecuali bagi mereka yang melakukan perjalanan ke atau dari destinasi memerlukan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam.

Para tetamu yang ingin memakai pelitup muka di dalam penerbangan boleh terus berbuat demikian.

“Keselamatan para tetamu adalah keutamaan bagi kami di AirAsia. Kami akan terus beroperasi dengan standard keselamatan ketat.

“Semua pesawat kami dilengkapi dengan penapis HEPA yang mampu menghapuskan 99.99 peratus zarah habuk dan bahan cemar bawaan udara termasuk virus dan bakteria.

“Malah, udara kabin disegarkan sepenuhnya setiap tiga minit untuk memastikan kualiti udara adalah pada tahap maksimum sepanjang penerbangan,” ujar kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu juga, AirAsia akan terus mengemas kini garis panduan mengenai penggunaan pelitup muka di dalam penerbangan di semua pasarannya.

Terdahulu pada Rabu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan ketika menaiki kapal terbang, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu dibuat dengan menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan telah mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang serta beban kes COVID-19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini.

CATEGORIES
TAGS
Share This