Pemanah negara tunjuk prestasi sederhana di Piala Asia

KUALA LUMPUR,. Pemanah negara gagal beraksi cemerlang apabila hanya memenangi satu pingat perak dan dua gangsa di Kejohanan Penentuan Ranking Dunia, Peringkat Ketiga, Piala Asia 2019 di Clark City, Filipina, hari ini.

Pasangan Khairul Anuar Mohamad dan Nur Aliya Ghapar memberikan satu-satunya pingat perak kepada Malaysia selepas tewas 2-6 kepada pasangan China, Zhang Xinyan-Qi Xiangshuo dalam penentuan pingat emas bagi acara recurve berpasukan campuran, mengikut laman sesawang Persekutuan Memanah Dunia; www.worldarchery.org.

Terdahulu, Khairul bersama Muhammad Akmal Nor Hasrin dan Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli menang gangsa selepas mengalahkan trio Taiwan, Huang Guan-Jhong, Lin Zih-Siang dan Liu Shih-Wei 5-4 dalam ‘shoot off’ selepas kedua-dua pasukan itu terikat 4-4 selepas empat set.

Pingat emas dimenangi China yang mengalahkan Bangladesh 5-3.

Sementara itu Haziq Kamaruddin menghadiahkan pingat gangsa kedua Malaysia, selepas mengalahkan Ta La dari China 6-4, dalam acara recurve individu lelaki.

Pemanah Bangladesh Md Rumah Shana, berjaya melakukan kejutan apabila mengalahkan Shi Zhenqi dari China, 7-3 pada perlawanan menentukan pingat emas.

Pemanah negara akan meneruskan perjuangan mereka dalam empat acara compound esok – wanita berpasukan, wanita campuran dan juga lelaki dan wanita individu menerusi Mohd Juwaidi Mazuki dan Iman Aisyah Norazam.

115 pemanah daripada 12 negara mengambil bahagian dalam kejohanan yang bermula pada 8 Sept.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )