
Pemandu bot, diminta berhati-hati peningkatan paras air di Sungai Rajang
SIBU,. Hujan berterusan di hulu Sungai Rajang telah menyebabkan paras air sungai terpanjang di Sarawak naik mendadak, mendorong Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) mengeluarkan peringatan agar pemandu kapal dan bot berhati-hati terutama ketika melalui kampung yang terletak di tebing sungai.
Pengerusi LSS Murni Suhaili berkata mereka juga harus berhati-hati untuk mengelakkan kayu balak terapung atau serpihan kayu, arus yang kuat dan jarak penglihatan yang terhad.
“Jika terpaksa berulang-alik dalam keadaan hujan, mereka dinasihatkan membuka lampu suar dan memandu dengan perlahan. Lembaga Sungai-Sungai Sarawak akan mengeluarkan notis lanjut untuk pengguna sungai sekiranya keadaan bertambah buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hujan berterusan sejak beberapa hari kebelakangan ini di Hulu Sungai Rajang menyebabkan kawasan rendah sepanjang sungai dinaiki air antaranya Kapit, Song, Kanowit dan Sibu.
Beberapa rumah panjang dan kedai terutama yang terletak berhampiran tebing sungai telah terjejas.
Murni turut menasihatkan pemilik kolam balak dan pemilik kilang papan untuk mengawasi balak dan kayu sisa agar ia tidak hanyut dibawa arus dan membahayakan komuniti perkapalan dan penduduk kampung.
Murni juga menekankan kepentingan memakai jaket keselamatan untuk semua penumpang dan pegawai akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa.
“Pemilik bot juga harus sentiasa memantau bot mereka yang berlabuh di dermaga untuk memastikan ia sentiasa diikat dengan tali,” katanya dan menambah penduduk yang tinggal di sepanjang sungai itu mesti memantau keberadaan anak-anak mereka dan keadaan tebing sungai untuk keselamatan.
— BERNAMA