Pembangkang Sabah Edar 200,000 Risalah Fitnah Calon Warisan Plus

Pembangkang Sabah Edar 200,000 Risalah Fitnah Calon Warisan Plus

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Sebanyak 200,000 risalah sedang diedarkan pembangkang Sabah bagi menabur fitnah dan memburuk-burukkan pemimpin Warisan Plus sebagai salah satu strategi mereka meraih undi dan menumbangkan kerajaan negeri.

Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah (Warisan) Loretto Padua Jr berkata, kesemua risalah itu yang merupakan serangan peribadi terhadap setiap calon Warisan Plus diedarkan di seluruh negeri.

“Kami juga mendapat maklumat beberapa papan tanda besar akan dipasang dalam tempoh beberapa hari ini bagi menimbulkan kebencian terhadap Warisan Plus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Loretto menasihatkan setiap rakyat Sabah agar tidak terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan yang disebarkan melalui risalah-risalah tersebut.

Katanya, perbuatan jijik itu menandakan pembangkang di Sabah telah meletakkan taraf mereka ke tahap terendah apabila melakukan serangan peribadi terhadap pemimpin dan calon Warisan Plus.

“Warisan Plus sedang menerima sokongan padu daripada pemimpin-pemimpin berkaliber seperti Tan Sri Simon Sipaun, Tan Sri Richard Malanjum, Dr Chong Eng Leong dan Zainnal Ajamain yang merupakan ketua dalam bidang masing-masing.

“Kesemua pemimpin berkenaan menentang setiap tuduhan terhadap Warisan Plus antaranya kononnya gagal menuntut MA63, proPTI atau meminggirkan masyarakat KDM menyebabkan pembangkang terpaksa menggunakan taktik kotor,” katanya.

Katanya, taktik kotor yang digunakan pembangkang juga kerana dasar pecah dan perintah yang mereka cuba lakukan gagal di Sabah ketika ini.

Menurutnya, dasar pecah dan perintah itu gagal teruk selepas GRS bertembung dengan PBS, UMNO, Bersatu serta STAR dan SAPP di tengah-tengah.

Tegasnya, LDP telah hilang pengaruh dalam kalangan masyarakat Cina dan kini mengharapkan sokongan KDM untuk survival politik manakala PCS pula adalah parti tanpa kepimpinan.

“Maka, amat penting untuk Sabahan berpadu di bawah Warisan Plus tidak kira apa bangsa dan kepercayaan agar Sabah menjadi harapan kepada perpaduan negara.

“Dalam tempoh yang menguji kita ini, pemimpin Warisan Plus tidak akan terpalit dengan taktik kotor pembangkang tetapi meneruskan misi menyatukan rakyat.

“Sabah bukan Malaya di mana taktik kotor boleh dilakukan untuk menjatuhkan pemimpin seperti skandal seks dan banyak lagi, ini adalah negeri yang unik kerana mengamalkan keamanan, kemakmuran dan kecemerlangan bukannya taktik kotor,” tegasnya.

Sehubungan itu, Loretto menyeru rakyat Sabah agar memastikan perpaduan sentiasa mekar di Sabah dan menggantikan kebencian dengan kasih sayang, belas kasihan dan saling memahami antara satu sama lain, sebagaimana disarankan oleh agama masing-masing.

“Marilah kita membuang jauh rasa takut dan ragu-ragu serta meneruskan misi bersama membina Sabah yang telah dipecah-pecahkan oleh BN dan UMNO,” ujarnya.

-BorneoToday

CATEGORIES
Share This