Pembangunan Lok Kawi Resort City bernilai RM7 bilion adalah inisiatif SMJ
KOTA KINABALU: Pembangunan Lok Kawi Resort City adalah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dibawah kluster sektor pelancongan melibatkan kerjasama kumpulan Yayasan Sabah dengan Syarikat Tegas Bangsa Sdn Bhd.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, projek berkenaan akan dibangunkan di kawasan Lok Kawi Putatan di atas tanah milik Kumpulan Yayasan Sabah seluas 411 ekar.
“Komponen pembangunan ini melibatkan pembinaan pusat peranginan, hotel, kompleks membeli belah, taman tema, blok komersil serta pejabat perumahan dan lain-lain dengan nilai pembangunan kasar projek ( GDV ) sejumlah RM7 bilion.
“Penglibatan Kumpulan Yayasan Sabah akan berterusan melalui usahasama dalam pengurusan beberapa komponen projek yang bakal siap dibangunkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembangunan Lok Kawi Resort City, di sini, hari ini.
Beliau berkata, projek berkenaan juga mampu melonjakkan persekitaran yang kondusif bagi sektor pelancongan Sabah dalam menangani kekurangan jumlah bilik penginapan serta pusat peranginan di negeri ini bagi menampung keperluan yang tinggi.
Katanya, kerajaan optimis sektor pelancongan Sabah akan mampu kembalik rancak sebalik sahaja pandemik COVID-19 dapat ditangani. “Projek ini dijangkan akan menyediakan lebih 5,000 peluang pekerjaan dan akan bertambah apabila beroperasi sepenuhnya nanti. “Selain pembangunan ini, kita juga menyaksikan Majlis Menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan inisiatif pelaburan asing dan domestik.
“Pertama ialah projek kilang pembuatan Copper Foil yang melibatkan kerjasama Syarikat SK Nexilis Company Limited, Korea dengan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di bawah kluster sektor perindustrian. “Nilai pelaburan adalah berjumlah RM2.3 bilion dan dijangka akan menawarkan 500 peluang pekerjaan bagi fasa awal,” katanya.
MoU kedua katanya, ia melibatkan inisiatif pelaburan domestik diantara Linaco Group of Companies dan Kerajaan Negeri Sabah secara langsung. Katanya, pelaburan itu adalah melibatkan penanaman dan pemprosesan kelapa iaitu High-Yield Hybrid Coconut Palms berskala besar dan diikuti dengan pembangunan kilang memproses kelapa bersepadu untuk mengoptimumkan pengeluaran produk berasaskan kelapa.
“Sebagai sebuah syarikat terkemuka yang membekal produk-produk berasaskan kelapa kepada lebih daripada 40 negara, Linaco akan membeli semua kelapa yang dituai melalui penanaman kelapa bersepadu.
“Sebuah Pusat Kecemerlangan juga akan dibangunkan untuk memantau pelaksanaan amalan terbaik dalam projek ini. Kilang memproses kelapa bersepadu akan mula beroperasi secepat mungkin dengan pelaburan awal dianggarkan sebanyak RM200 juta,” katanya.
Hadir sama ialah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan kepimpinan Kabinet Negeri Sabah.
-Urusan Borneo