Pembentukan Kabinet proses rekonsiliasi nasional – Saifuddin Abdullah
KUALA LUMPUR,. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan pembentukan Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu proses rekonsiliasi nasional.
Beliau berkata Perdana Menteri menyedari bahawa kini sudah tiba masanya untuk negara memandang ke hadapan dengan Kabinet yang dibentuk itu menunjukkan wajah Malaysia.
“Maksudnya ada semua golongan, ia inklusif ada Melayu, Bumiputera, bukan Melayu, sejumlah yang besar dari Sabah dan Sarawak, ada wanita, (golongan) muda, pokoknya ada kombinasi yang baik dan daripada pelbagai parti.
“… termasuk parti yang sudah lama tiada dalam kerajaan, PAS. Jadi ini pada saya satu proses rekonsiliasi nasional yang sangat mustahak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif: Barisan Kabinet Malaysia 2020 yang disiarkan secara langsung di TV1, malam tadi.
Saifuddin petang Selasa mengangkat sumpah jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati, Putrajaya.
Sementara itu, mengulas berhubung saiz Kabinet kini yang lebih besar berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH), Saifuddin menjelaskan PH terikat dengan manifesto yang antaranya menjanjikan Kabinet lebih kecil.
“Tetapi saya fikir Tan Sri Muhyiddin praktikal, misalnya memecahkan kluster pendidikan kepada dua (iaitu) Kementerian Pendidikan dan (Kementerian) Pengajian Tinggi.
“Saya pernah duduk di KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) dulu, saya tahu lah juga betapa besarnya kalau kedua-dua itu disekalikan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan penubuhan beberapa kementerian baharu seperti Kementerian Alam Sekitar dan Kementerian Perpaduan Negara mempunyai objektif tertentu dan bertepatan dengan keperluan semasa.
Menurutnya, bukan jumlah menteri dalam Kabinet yang menjadi persoalan, tetapi yang penting adalah kesemua mereka lebih praktikal dan berfungsi.
— BERNAMA