Pemberian kad warga asing perlu persetujuan semua pemimpin Sabah: Hamzah

Pemberian kad warga asing perlu persetujuan semua pemimpin Sabah: Hamzah

KUALA PENYU: Pemberian kad warga asing di negeri Sabah hanya akan dilaksanakan sekiranya mendapat kesepakatan daripada para pemimpin di Sabah. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, cadangan pemberian kad warga asing itu memerlukan ‘political will’ daripada semua pemimpin di negeri ini sebelum dilaksanakan.

Jelas beliau, kad warga asing itu bertujuan mendokumen identiti warga asing khususnya di negeri ini dan bukan sebaliknya seperti yang didakwa kononnya kad warga asing itu adalah sama seperti warganegara.

“Kad warga asing ini sebenarnya kita perlu ‘political will’. Kita tidak mahu ada masalah sosial nanti dalam negeri Sabah ini. “Ada yang dilahirkan di sini oleh ibu bapa yang tidak ada dokumen dan mereka juga dilahirkan tanpa dokumen. Akhirnya masalah itu akan berleluasa dan menjadi sesuatu masalah yang besar dan menjadi ‘time bomb’.

“Maka saya nak ada ‘political will’ among all the leaders of Sabah ini untuk kita memastikan kita cari satu kaedah untuk kita selesaikan.

“Bukan bermakna kita nak jadikan mereka warganegara. Tidak, akan tetapi mahu pastikan ada identiti supaya boleh kita pastikan sesiapa saja yang melakukan kesalahan undang-undang dalam negara boleh kita ambil tindakan, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kuala Penyu di Dewan Shahbandar Makang, dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu; Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony; ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuantim; ADUN Lumadan, Ruslan Muharam, Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Matbali Musah dan Pegawai Daerah Kuala Penyu, Sabatian Ingkim.

Mengenai sambutan pesta Kaamatan, Hamzah memberitahu, perayaan itu jelas mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negeri ini malah amat sesuai dijadikan sebagai platform untuk mengukuhkan lagi keharmonian di Sabah.

Justeru beliau mengajak seluruh rakyat di negeri ini untuk mengekalkan kesepakatan yang sedia ada selain mengajak masyarakat untuk terus bersatu demi satu tujuan iaitu bagi mengukuhkan lagi kemakmuran.

-DG

CATEGORIES
Share This