Pembukaan Kompleks Sukan negeri suntik semangat atlet Sarawak

Pembukaan Kompleks Sukan negeri suntik semangat atlet Sarawak

KUCHING,. Keputusan Kerajaan Negeri Sarawak membenarkan pembukaan semula Kompleks Sukan di sini adalah bagi menyuntik semangat atlet negeri itu dalam usaha meningkatkan prestasi sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Johor tahun depan.

Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak Datuk Rahman Lariwoo berkata keputusan membenarkan pembukaan semula kompleks sukan itu, yang berkuat kuasa hari ini, dapat membantu memantapkan bentuk latihan atlet tinju Sarawak yang menyasarkan satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada temasya sukan tersebut.

“Semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), petinju kita berlatih sendirian tanpa rakan pelatih.

“Kebenaran ini pastinya menaikkan semangat mereka selepas beberapa perlawanan pendedahan yang sepatutnya dianjurkan sebelum ini terpaksa dibatalkan susulan penularan wabak COVID-19,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata rutin latihan yang dilakukan adalah seperti biasa sebelum PKP dan PKPB dilaksanakan namun perlu mematuhi semua garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan untuk sukan yang melibatkan sentuhan.

“Sebelum mereka masuk ke gelanggang, semua tempat latihan termasuk peralatan sukan mesti dinyah cemar. Petinju juga perlu mematuhi SOP dengan mencatat suhu mereka sebelum memulakan latihan bersama,” katanya.

Berkongsi pandangan serupa ialah jurulatih elit pecut dan lari berhalangan Sarawak Noraseela Khalid, yang memulakan latihan bersama 11 atlet olahraga di bawah jagaannya sejak semalam.

Bekas atlet kebangsaan itu berkata ketika ini, latihan yang diterapkan kepada atlet ialah untuk mempersiapkan mereka untuk latihan lebih intensif memandangkan latihan seumpama itu tidak dapat dilaksanakan ketika PKP dan PKPB.

Beliau berkata walaupun situasi latihan sedikit janggal berikutan normal baharu selepas penularan COVID-19 dan pengenalan garis panduan serta SOP bagi membendung penularan wabak itu, ia tidak menjadi penghalang kepada atlet di bawah kendaliannya untuk tetap bersemangat meneruskan latihan.

“Kita tidak dibenarkan (berlatih) melebihi 50 orang dalam stadium dan saya harap kita dapat kekalkan begitu sebab tumpuan untuk atlet akan menjadi lebih baik dan kita boleh elakkan apa-apa risiko berkaitan jangkitan COVID-19,” kata pemenang pingat gangsa acara 400 meter lari berpagar pada Sukan Asia Doha 2006 itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This