Pemenang pingat Hanoi automatik disenarai ke Sukan Sea 2023

Pemenang pingat Hanoi automatik disenarai ke Sukan Sea 2023

KUALA LUMPUR,. Kesemua atlet bina badan yang memenangi pingat di Sukan SEA Hanoi Mei lepas secara automatik disenaraikan untuk bertanding pada Sukan SEA Kemboja 2023.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bina Badan Malaysia (MBBF) Lt Kdr (B) Kamaruzaman Kadir berkata perkara berkenaan adalah persetujuan awal dicapai pada mesyuarat dengan Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

“Buat masa sekarang, kita masih menunggu kata putus dari pihak penganjur (Kemboja) yang dijangka mengesahkan jumlah kategori acara bina badan akan dipertandingkan pada bulan hadapan.

“Apabila pihak kami menerima senarai kategori, barulah kita boleh membuat senarai akhir, diikuti sasaran untuk temasya berkenaan nanti,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut di sini semalam.

Kamaruzaman berkata sebarang penambahan atau pengurangan atlet bina badan ke temasya dwitahunan itu adalah mengikut senarai kategori yang akan dipertandingkan.

Pada Sukan SEA Hanoi Mei lepas, kem bina badan membawa pulang satu emas, tiga perak dan empat gangsa, dengan Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah menepati ramalan muncul juara acara athletic physique.

Azri Asmat Sefri dalam acara 55 kilogram (kg) lelaki, Buda Anchah (70kg lelaki) dan Zmarul Al Adam Pulutan Abdullah (75kg lelaki) pula masing-masing memenangi pingat perak.

Gangsa pula diraih Malvern Abdullah dalam kategori 65kg lelaki, Zainal Arif Zainal Arifin (80kg lelaki), Muhammad Uzair Mat Noor (85kg lelaki) dan Malvern-Shelen Aderina Kok (campuran).

Sementara itu, Kamaruzaman berkata 12 atlet kebangsaan sedang menyertai Kejohanan Mr Asia di Maldives bermula 15-21 Julai sebelum menyertai beberapa kejohanan lain sebelum beraksi di Kemboja.

“Kita hantar 12 atlet untuk bertanding (di Maldives), namun agak sukar untuk menetapkan sasaran di Kejohanan Mr Asia itu kerana pesaing yang lain hebat belaka.

“Mereka kemungkinan pulang ke Malaysia pada 23 atau 24 Julai ini sebelum menyertai Mr Malaysia penghujung bulan depan dan Kejohanan Dunia di Phuket, Thailand pada November ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )