Pemilik gim tanggung kerugian, rayu kelonggaran kerajaan

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 20 Mei — Rungutan pemilik gimnasium yang perit kerana kehilangan punca pendapatan sejak hampir dua bulan lepas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas, mendapat perhatian Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM).

Setiausaha Kehormat PBBM, Kamarulzaman Kadir berpendapat kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberi kebenaran kepada pemilik membuka gimnasium, namun tertakluk kepada tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau berkata langkah itu juga akan membantu atlet negara daripada pelbagai jenis sukan memulakan latihan memantapkan otot mereka, manakala orang awam dapat meningkatkan kecergasan masing-masing.

“Kita faham dengan kesusahan dihadapi oleh pemilik gim yang hilang punca pendapatan. Saya cadangkan jika kerajaan mahu memberi kebenaran beroperasi, SOP ketat seperti pemeriksaan suhu, jarak antara satu-satu treadmill, basikal atau peralatan melebihi 1 meter dan kerap membersihkan peralatan.

“Pelanggan juga harus memakai pakaian sesuai yang boleh menyerap peluh. Rakyat Malaysia sekarang sangat menitikberatkan kesihatan berbanding sebelum ini, jadi kebanyakan pelanggan gim adalah mereka yang mahukan gaya hidup sihat, hanya sebilangan kecil sahaja berlatih untuk pertandingan bina badan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kamarulzaman berkata di Lembah Klang sahaja terdapat sekitar 500 hingga 600 gimnasium, yang secara keseluruhannya terjejas dengan penularan wabak COVID-19.

Kerajaan sebelum ini memberi kelonggaran untuk senaman dan sukan seperti larian, berbasikal dan badminton dalam kumpulan kecil di kawasan luar, tetapi pembukaan gim dan latihan berkumpulan dalam bangunan masih tidak dibenarkan

Sementara itu, Presiden Persatuan Bina Badan India Malaysia (MIBBA) N. Rajaratnam merayu kepada kerajaan agar memberi kebenaran kepada gimnasium untuk beroperasi.

Beliau, yang turut memiliki sebuah gim di Jalan Klang Lama, berkata pemilik mengalami kerugian lebih dua bulan apabila terpaksa membayar sewa dan gaji kepada pekerja, walaupun pendapatan mereka sifar sepanjang tempoh penutupan tersebut.

“Kami tetap kena bayar sewa premis, gaji staf dan bil utili dalam tempoh ini, tetapi tidak boleh caj yuran kepada pelanggan. Kami sedia beroperasi dengan mengamalkan langkah-langkah keselamatan jika mendapat kebenaran kerajaan.

“Antaranya menutup gim untuk sejam bagi pembersihan dan sanitasi selepas setiap dua jam beroperasi, mengehadkan jumlah pelanggan dalam gim dan pemeriksaan suhu. Kami berharap agar kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi oleh kami,” katanya.

Jurulatih kecergasan di sebuah gim di ibu kota, Eric Imran mengesahkan staf dibayar gaji seperti biasa, namun kehilangan komisen tambahan yang diterima untuk melatih pelanggan.

“Walaupun gim tidak dibuka, kami tetap berbincang secara dalam talian setiap hari. Saya rasa sekiranya semua pihak mematuhi syarat dan SOP yang ditetapkan, tiada masalah untuk membuka gim,” katanya.

Pemantauan Bernama mendapati ramai pelatih mengadakan kelas senaman dan yoga secara dalam talian dan di media sosial sejak PKP dilaksanakan, sama ada secara percuma atau berbayar.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )