Penang FC mahu pastikan momentum stamina pemain berada pada tahap terbaik – Ketua Jurulatih

Penang FC mahu pastikan momentum stamina pemain berada pada tahap terbaik – Ketua Jurulatih

GEORGE TOWN,. Meskipun situasi pandemik COVID-19 dilihat memberi cabaran serta mengubah jadual perjalanan sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) 2021, namun pasukan Penang FC akan terus berusaha untuk mengekalkan momentum dan stamina para pemain supaya berada pada tahap terbaik.

Ketua Jurulatih Penang FC Tomas Trucha berkata beliau mengakui situasi semasa yang disifatkannya agak mencabar, namun ia bukan penghalang untuk anak buah skuad Harimau Kumbang itu memberikan komitmen penuh terhadap program yang dirangka dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Matlamat kita ialah bersedia sebelum saingan liga bermula. Dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini, kita perlu membuat persiapan sama seperti pasukan lain dan sebagai kakitangan kejurulatihan, kita bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian termasuk menjaga SOP…pada masa sama, kita perlu berusaha mengekalkan kecergasan (pemain),“ katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Tomas, walaupun berdepan cabaran ketika pasukan itu menjalani latihan secara dalam talian sepanjang tempoh PKP ini, namun beliau mengakui mempunyai pasukan taktikal yang proaktif dan memastikan agar interaksi antara pemain dan jurulatih sentiasa berada pada tahap optimum.

Menurutnya, pasukan itu akur dengan penangguhkan Liga-M 2021 yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 26 Feb depan, tetapi telah ditunda hingga ke 5 Mac, dengan memastikan pemain bersedia untuk perlawanan itu.

“Disebabkan wabak yang sedang melanda ini, kita menggunakan semua aplikasi yang diperlukan termasuk aplikasi video, peranti dan saya mengakui kita mempunyai pasukan taktikal yang sangat baik.

“Pemain sangat proaktif, jadi kita saling berhubung dan bertanya khabar setiap hari dan kita juga mengadakan pertemuan video yang perlu dilakukan oleh setiap jurulatih (dengan idea) dan berinteraksi dengan para pemain,” katanya menambah kerja berpasukan dan kejurulatihan amat penting dalam membentuk pasukan yang kuat.

Menurut beliau, barisan kejurulatihan pasukan Penang FC kini sedang berusaha untuk memberi perhatian dengan memastikan stamina pasukan berada pada tahap terbaik serta meminimumkan sebarang kecederaan ketika pasukan mengadakan latihan di kediaman masing-masing.

“Kami berusaha untuk memiliki keseimbangan dalam pasukan dan apa yang penting dilakukan sekarang ialah untuk kita ingin mengelak kecederaan semasa mempersiapkan para pemain … untuk mempersiapkan pemain agar sentiasa cergas agak mudah, namun cabarannya ialah untuk memastikan pemain berada pada tahap kecergasan (tinggi) memerlukan masa mungkin dalam empat minggu (sebelum perlawanan),” katanya.

Pada 26 Jan lepas, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk membatalkan saingan Piala FA manakala sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) 2021 ditunda ke 5 Mac susulan PKP di seluruh negara, kecuali Sarawak hingga 4 Feb ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This