Pencalonan Shafie ‘permainan’ Tun Mahathir, kata Pemuda Pakatan Harapan Sabah

KOTA KINABALU,. Pengumuman Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan Plus oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat sebagai satu taktik pecah dan perintah yang sudah menjadi kebiasaan bagi bekas perdana menteri itu.

Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan Sabah, Razeef Rakimin berkata, Tun Mahathir sudah ketandusan idea dan pencalonan Shafie akan menjadi perangkap kepada Pakatan Harapan.

“Pertama, siapa dia untuk menentukan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan? Beliau bukan pemimpin Pakatan Harapan bahkan beliau tidak mempunyai parti politik setelah dibuang oleh parti yang diasaskannya sendiri.

“Kedua dengan sokongan lima Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat dan sembilan Ahli Parlimen Warisan, bagaimana beliau menganggap boleh mendapat sokongan majoriti?
“Pemilihan Shafie juga merupakan perangkap kepada Pakatan Harapan kerana bila Pakatan Harapan menolak cadangan berkenaan, sudah tentu beliau akan menggunakan isu Pakatan Harapan menolak pemimpin Sabah dan Borneo kerana propaganda berkait isu perkauman adalah kepakaran beliau sebagaimana beliau sering mendakwa Cina menindas Melayu dan beliau juga pernah menyatakan orang Sabah pemalas,” kata Razeef dalam satu kenyataan.

Justeru, pemimpin Pakatan Harapan diingatkan untuk terus berpegang kepada prinsip dan kekal dengan hala tuju dan pendirian serta tidak termakan dengan umpan Ahli Parlimen Langkawi itu untuk kembali berkuasa.

“Adalah lebih baik Pakatan Harapan memperkukuhkan setiap parti komponen masing-masing dan mempersiapkan jentera Pilihanraya di semua 222 Parlimen seluruh negara,” katanya.

–AWANI

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )