Pencemaran Sungai Anak Air Garam sedang disiasat

Pencemaran Sungai Anak Air Garam sedang disiasat

SEREMBAN,. Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) sedang membuat siasatan lanjut mengenai punca pencemaran Sungai Anak Air Garam di Mambau, dekat sini, selepas siasatan awal mendapati ia sedikit berbau dan warna airnya bertukar hitam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S. Veerapan berkata JASNS telah mengambil sampel air di sungai berkenaan untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia.

“Kerja-kerja pembersihan sungai itu dilakukan secepat mungkin bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini, sebagai mengulas mengenai penyebaran video sungai berkenaan yang tular di dalam aplikasi WhatsApp, yang didakwa tercemar disebabkan bahan kimia.

Beliau berkata JASNS menerima aduan mengenai air sungai itu pada pukul 9.55 pagi dan telah ke lokasi bersama dengan agensi seperti Badan Kawal Selia Air (BKSA), Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat bagi mengesahkan kejadian.

“JASNS telah menjalankan siasatan di beberapa lokasi antaranya Taman Desa Rasah dan Kampung Batu 3 dan mendapati ada pencemaran yang bermula dari sisa dibuang di longkang awam di Taman Desa Rasah, seterusnya memasuki Sungai Anak Air Garam,” kata Veerapan.

Beliau bagaimana pun berkata sama ada ia berpunca daripada bahan kimia atau sebaliknya hanya akan dapat dipastikan selepas pihaknya memperoleh laporan daripada Jabatan Kimia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This