
Pendaftaran Audit Keselamatan IATA Malindo Air diperbaharui
KUALA LUMPUR, 28 April — Pendaftaran Audit Keselamatan Operasi (IOSA) Malindo Airways Sdn Bhd telah diperbaharui bagi tempoh dua tahun lagi bermula hari ini sehingga 3 Jun, 2022.
Ini susulan selesainya pensijilan prosedur audit bagi kesuaian kepada Audit Keselamatan Operasi (IOSA) Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) bagi kali kedua, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Kapten Mushafiz Mustafa Bakri.
Beliau berkata pensijilan itu merupakan perakuan keselamatan bernilai bagi Malindo Air kerana ia menyebariskan syarikat penerbangan itu selaras dengan amalan keselamatan terbaik global.
“Ia (sijil itu) membantu bagi memastikan pengurusan operasi dan sistem kawalan kami sentiasa mengikut standard, keperluan kawal selia dan amalan terbaik industri IATA.
“Sehubungan itu ia meletakkan Malindo Air setara dengan keperluan industri penerbangan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
IOSA merupakan sistem penilaian yang diiktiraf dan diterima antarabangsa yang diwujudkan untuk mengakses pengurusan operasi dan sistem kawalan sesebuah syarikat penerbangan yang dijalankan setiap dua tahun sekali sebaik sahaja syarikat penerbangan berjaya menyelesaikan audit pertama.
Mushafiz berkata sebagai anggota IATA, Malindo Air perlu melalui audit keselamatan menyeluruh setiap dua tahun.
— BERNAMA