Pendekatan bendung sindiket penipuan kerja luar negara dibincang dalam Kabinet

Pendekatan bendung sindiket penipuan kerja luar negara dibincang dalam Kabinet

PUTRAJAYA,. Pendekatan baharu termasuk cadangan mewujudkan jawatankuasa khas di peringkat ASEAN, bagi membendung sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia, akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok (Rabu).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mengarahkan beliau untuk melihat isu tersebut dan kerajaan yang memandang serius mengenainya akan mengambil tindakan tertentu, bagi memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa diselamatkan.

“Isu ini memerlukan kerjasama mendalam dengan semua pihak dan ia akan diselesaikan secara lebih holistik esok (dalam mesyurat Kabinet),” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan keluarga mangsa penipuan kerja, serta beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.

Antara NGO yang hadir adalah Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang diwakili Setiausaha MHO Datuk Hishamuddin Hashim dan Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) diwakili presidennya Tan Sri Musa Hassan.

Semalam, sekumpulan NGO menghantar memorandum kepada perdana menteri, bagi memohon bantuan serta campur tangan kerajaan dalam menyelesaikan isu sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia.

Setakat semalam, Wisma Putra memaklumkan mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja yang berjaya diselamatkan adalah seramai 143 orang, daripada 158 kes yang dilaporkan.

Ditanya adakah kerajaan akan menyekat pergerakan rakyat Malaysia bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa sindiket, Abdul Latiff berkata kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyekat pergerakan orang ramai.

“Kita tidak mempunyai punca kuasa untuk sekat rakyat Malaysia tetapi jika ingin mengembara, maklumkanlah kepada ahli keluarga masing-masing.

“Jika ingin bekerja, boleh semak dengan pelbagai agensi di kedutaan negara yang ingin dituju… majikan Malaysia mempunyai industri di negara ASEAN lain banyak,” katanya.

Sementara itu, Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata beliau telah berhubung dengan pihak polis di Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai sindiket berkenaan dan berharap bahagian berkenaan juga dapat membantu siasatan dan menyelamatkan mangsa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This