Pendidikan pelabur menggalakkan pembangunan pasaran, pertumbuhan ekonomi – SC

Pendidikan pelabur menggalakkan pembangunan pasaran, pertumbuhan ekonomi – SC

KUALA LUMPUR,. Pengawal selia pasaran modal perlu mempergiatkan usaha pendidikan pelabur mereka untuk meningkatkan literasi kewangan dan penyertaan bermaklumat dalam pasaran modal, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Syed Zaid Albar.

Beliau berkata di sebalik pertumbuhan ekonomi yang pesat, kekal terdapat jurang ketara antara pasaran negara sedang pesat membangun dan ekonomi maju.

“Perkapita keluaran dalam negara kasar nominal dalam ekonomi maju hampir sembilan kali lebih tinggi daripada ekonomi sedang membangun.

“Bagi pasaran sedang pesat membangun untuk mencapai tahap pendapatan ekonomi-ekonomi maju, isirumah perlu turut serta dalam saluran pewujudan kekayaan seperti pasaran modal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Zaid berkata pendidikan pelabur efektif menyediakan kesedaran kepada orang ramai mengenai peluang pelaburan yang ada dan melengkapi pelabur dengan pengetahuan dan wadah yang betul untuk menyertainya dengan yakin dan bermaklumat.

“Dengan kata lain, pendidikan pelabur dalam pasaran sedang pesat membangun bukan sahaja dalam bentuk perlindungan pelabur, tetapi juga wadah untuk menarik peserta pasaran,” katanya.

Syed Zaid berkata demikian pada Persidangan Pasaran Sedang Pesat Membangun dan Pertumbuhan (GEM) Pertubuhan Suruhanjaya-Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) 2019 di St Petersburg, Rusia, yang berlangsung pada 19 Sept.

Beliau berucap pada persidangan itu selaku naib pengerusi Jawatankuasa GEM, perkumpulan terbesar dalam IOSCO, yang mewakili hampir 80 peratus ahli IOSCO, termasuk 11 ahli G20.

Pada persidangan itu, beliau turut berkongsi Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia, pelan lima tahun holistik yang bertujuan meningkatkan tahap literasi kewangan dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara menyeluruh.

Beliau berkata Strategi Kebangsaan itu juga mengiktiraf bahawa pendigitalan kini mencorakkan ekonomi, pasaran dan strategi pengawalseliaan, menjadikan literasi kewangan lebih penting .

“SC telah menerapkan pendigitalan untuk menjadikan pasaran modal lebih mudah diakses dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

“Teknologi kewangan telah membawa kepada kemunculan perkhidmatan kewangan alternatif termasuk penasihat robo, ekuiti pendanaan awam dan pembiayaan rakan setara, yang telah mengurangkan masa transaksi dan kos pelaburan,” kata Syed Zaid.

Beliau berkata usaha pendidikan pelabur juga telah disesuaikan untuk memberi respons terhadap trend digital baharu untuk memastikan pelabur sedar mengenai risiko yang berkaitan, termasuk risiko siber.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This