Penduduk Bahagian Kapit dinasihat elak pembelian panik – KPDNHEP
SIBU, 1 Feb — Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menasihati penduduk di Bahagian Kapit agar mengelakkan pembelian panik berikutan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bahagian itu semalam.
“Saya sudah mengarahkan anggota penguat kuasa KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) Sarawak untuk sentiasa memantau keberadaan bekalan barangan keperluan penduduk di kawasan terlibat sepanjang PKP ini.
“Anggota penguat kuasa KPDNHEP juga akan melakukan pemantauan bagi mengelakkan sebarang aktiviti pencatutan oleh peniaga pada waktu sukar ini,” kata Ahli Parlimen Kapit itu dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
Beliau yang menyedari kegusaran dihadapi oleh semua penduduk di daerah Kapit dan Song yang sebelum ini merupakan kawasan hijau, memohon agar mereka bertenang dan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berada di rumah dalam tempoh PKP yang bermula esok hingga 15 Feb ini.
Memandang serius penularan jangkitan COVID-19 di kedua-dua kawasan itu, beliau berkata pejabat wakil rakyat Parlimen Kapit dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dikekang sepenuhnya.
“Wakil saya di Kapit juga akan cuba menyalurkan bantuan yang boleh disampaikan kepada penduduk terjejas dan akan sentiasa memaklumkan dan mengemas kini informasi kepada penduduk.
“Saya yakin jika kita dapat mendidik serta mengawal diri dan keluarga masing-masing, kita akan berjaya mengekang penularan wabak ini bukan sahaja di Kapit dan Song, Sarawak tetapi Malaysia secara keseluruhannya,” tambah beliau.
— BERNAMA