Penduduk Buang Sayang rayu atasi punca masalah banjir

Penduduk Buang Sayang rayu atasi punca masalah banjir

KENINGAU,. Penduduk Kampung Buang Sayang Bingkor menggesa Pejabat Daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku di kampung itu disebabkan perparitan ditutup.

Penduduk kampung Oliver Basir Umpason berkata, kejadian itu dikenal pasti berpunca daripada laluan asal perparitan di Kg Antolob yang mengalirkan air ke Sungai Kisaging ditutup.

“Sepatutnya laluan asal itu tidak ditutup kerana apabila hujan lebat, air dari bukit dan kawasan padang ragut Kg Bunsit mengalir deras ke perparitan Kg Buang Sayang,” katanya.

Oliver menjelaskan, asalnya air terbahagi mengalir ke laluan perparitan persimpangan Kg Antolob dan ke Sungai Kisaging namun pembetung (culvert) sedia ada ditutup.

Menurutnya, pembetung berkenaan tidak diselenggara sejak sekian lama menyebabkan berlaku banjir apabila hujan lebat kerana laluan perparitan hanya satu alur sahaja.

Keadaan perkampungan ketika hujan turun.

Kejadian banjir kilat, kata Oliver berpunca daripada limpahan aliran parit yang tidak diselenggara beserta pembetung kecil yang tidak dapat menampung aliran air.

“Setiap kali hujan lebat walaupun dalam masa 30 minit, banjir kilat akan berlaku menyebabkan banyak permukaan rumah ditenggelami air mengakibatkan barangan rosak,” katanya.

Oliver yang tinggal di penghujung kampung berhampiran dengan sempadan Kg Tuntumolod memberitahu terdapat pembetung di kawasan perkuburan perlu diperbesarkan bagi menampung kelancaran laluan air.

Sementara itu Subarjoe Jalil Angkub, penduduk yang sering trauma apabila hujan lebat memberitahu kediamannya dinaiki air setiap kali hujan.

“Isu ini sudah banyak kali diajukan kepada pihak berwajib tetapi masih tiada tindakan penyelesaian walaupun pada awal bulan lalu pegawai dari JKR daerah datang meninjau keadaan perparitan dan culvert yang perlu diselengga,” katanya.

Difahamkan tinjauan pegawai JKR turut disertai pengerusi MPKK awal bulan lalu.

CATEGORIES
TAGS
Share This