Penduduk Pulau-Pulau Di Sabah Dijamin Dapat Bantuan Sewajarnya

Penduduk Pulau-Pulau Di Sabah Dijamin Dapat Bantuan Sewajarnya

KOTA KINABALU,. Bekalan makanan yang secukupnya telah dihantar ke pulau-pulau di pantai timur Sabah untuk memastikan penduduk di situ dapat meneruskan kehidupan tanpa mengira taraf kewarganegaraan.

Borneo Today melaporkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata, ramai masyarakat yang tinggal di kawasan pulau di Semporna dilarang untuk keluar, justeru mereka amat memerlukan bekalan barangan asas.

“Kami membantu mereka di sana. Atas semangat kemanusiaan, kami bantu semuanya bukan sahaja orang tempatan,” katanya ketika ditanya sama ada bantuan telah diberikan kepada masyarakat tanpa negara, pelarian dan warga asing di pulau-pulau terbabit.

Katanya, terdapat ribuan penduduk yang tinggal di kampung-kampung di sepanjang perairan pantai timur Semporna kini tidak dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berhubung kerisauan serangan wabak Covid-19 terhadap penduduk di situ, katanya semua bantuan akan disalurkan terus ke pulau-pulau oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, mengenai penduduk Pulau Gaya di mana kes Covid-19 telah dikesan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk menyalurkan bantuan selepas pihak berkuasa melarang sebarang pergerakan keluar dari pulau.

“Kami menguruskan bekalan makanan kepada penduduk Tanjung Aru, terutama sekali Pulau Gaya kerana larangan pergerakan keluar telah dilaksanakan di sana.

“Saya juga telah sediakan sendiri pakej Covid-19 kepada rakyat Tanjung Aru yang mensasarkan bantuan makanan kepada semua isi rumah,” katanya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Jelas beliau, kira-kira 6,000 penduduk yang terjejas akan diberikan bekalan makanan seperti biskut, kopi, tepung, minyak masak, gula, beras, air ninuman dan mi segera yang dihantar terus ke rumah sejak hari Selasa.

“Kami menjangka minggu depan semua penduduk dapat pakej Covid-19 itu,” katanya yang memaklumkan bekalan cecair pembasmi kuman dan penutup hidung dan mulut akan turut dihantar selepas bekalan sampai.

CATEGORIES
TAGS
Share This