Penduduk resah buaya berkeliaran di bawah rumah

Penduduk resah buaya berkeliaran di bawah rumah

BINTULU: Penduduk yang mendiami rumah di kawasan tebing Sungai Kemena dan Sebiew terutama di Kampung Baru Laut di sini mengakui berasa amat resah dan bimbang dengan kehadiran buaya yang kerap muncul di bawah rumah mereka ketika air pasang sejak tahun lepas, bahkan menggemparkan penduduk apabila membaham kucing dan ayam.

Seorang penduduk, Suffian Taha, 48 berkata dia amat bimbang dengan keselamatan ahli keluarganya dan penduduk kampung setempat berikutan kelibat buaya kerap muncul di bawah rumah mereka.

“Bukan sahaja di bawah rumah, reptilia itu dapat dilihat kerap berada berdekatan pokok nipah tepi sungai berhampiran rumah penduduk di sini semasa air pasang.

“Ukur lilit reptilia itu lebih kurang empat ke enam inci besar (bahagian belakang) dan panjangnya kemungkinan lebih 12 kaki,” katanya semasa ditemui di kediamannya di Kampung Baru Laut di sini, hari ini.

Katanya, reptilia itu pada satu ketika dilihat membaham kucing di bawah rumah, di mana kandang dirobek dan kucing di dalamnya dimakan.

“Tidak hanya itu, ayam ternakan turut jadi sasaran dalam kejadian pada penghujung tahun lalu di rumah jiran berdekatan dan ada ketikanya bunyi ayam bising seperti diganggu sesuatu sehingga disedari penghuni rumah yang mengenal pasti kehadiran sang bedal apabila melihat haiwan itu terus menyelam menghilangkan diri,” katanya.

Suffian yang merupakan ahli jawatankuasa Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga Kampung Baru berkata, kebanyakan sangkar ayam ternakan diletakkan di atas para tinggi berikutan kawasan tanah bawah rumah digenangi air dari Sungai Sebiew dan kebanyakan rumah penduduk pula dibina di kawasan tebing sungai.

Pada masa sama beliau menasihati anak-anak termasuk golongan dewasa berwaspada serta anak-anak tidak bermain di tepi titi atau bawah rumah atau duduk santai di jeti tebing sungai memandangkan reptilia tersebut kemungkinan menyergah untuk mengejutkan mangsa sehingga terjatuh ke dalam air sebelum diserangnya.

“Saya memikirkan kemungkinan cara yang sama diguna reptilia itu untuk membaham kucing.

“Ini disebabkan jarang kucing bermain di tepi air dan kucing kebanyakannya kerap dilihat berada di atas titi jeti,” katanya.

Susulan itu beliau berharap pihak berkuasa dapat membantu dan bijak mencari kaedah sesuai untuk menangkap reptilia ini sebelum berlaku tragedi yang tidak diingini.

“Sebelum anak kita dan orang lain atau kita sendiri sebagai orang dewasa yang jadi mangsa, ada baiknya kita bertindak segera menangkap haiwan ini.

“Kita tidak mahu reptilia yang kerap muncul di bawah rumah ini mula bertindak berani memanjat rumah (rumah bertiang) atau memasuki rumah (dibina atas tanah) untuk menyerang mangsanya,” katanya.

-AGENSI

CATEGORIES
Share This