Penduduk tidak tahu Pasar Sentral Sibu ditutup angkara COVID

Penduduk tidak tahu Pasar Sentral Sibu ditutup angkara COVID

Oleh Ibrahim Mahsen

SIBU,. Meskipun berita mengenai penutupan Pasar Sentral Sibu di sini telah diuarkan-uarkan pelbagai media, namun masih terdapat segelintir penduduk yang tidak mengetahui dan hanya menyedari mengenai perkara itu, selepas sampai ke pasar berkenaan.

Pasar Sentral Sibu yang merupakan pasar terbesar seumpamanya di Sarawak, ditutup dua hari bermula semalam oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS), selepas seorang kakitangannya yang bertugas di pasar itu disahkan positif COVID-19.

Rentetan itu, suasana di pasar yang selama ini sentiasa sibuk sejak ia dibuka pada penghujung 1996 kini berubah wajah dengan pita kepungan dipasang di sekeliling bangunan enam tingkat yang berkeluasan kira-kira 18,000 meter persegi itu.

Sakai Mangga, 65, penduduk rumah panjang di Tanjung Latap, kira-kira 20 km dari sini, antara penduduk yang tidak menyedari berkenaan penutupan pasar itu.

“Saya bermotosikal datang dari rumah panjang pada kira-kira pukul 10.30 pagi kerana hendak beli sayur-sayuran dan ikan serta bekalan barangan keperluan harian untuk simpanan beberapa hari. Saya tidak tahu hari ini (pasar) tutup,” katanya ketika ditemui di luar Pasar Sentral Sibu di sini.

Bekas tukang masak, Lee Yung King, 75, dari Taman Bumi Indah, Jalan Oya, berkata, beliau juga terkejut apabila melihat laluan masuk ke pasar itu diletakkan penghadang besi dan tali dipasang di sekeliling bagi menghalang orang ramai masuk.

“Saya datang ke pasar pagi ini mahu membeli sayur, daging dan ikan tetapi bila sudah tutup, saya tidak dapat beli, lepas ini saya balik teruslah,” katanya menyedari dirinya adalah golongan berisiko tinggi dan tidak seharusnya berada terlalu lama di luar rumah.

Mohammad Drahman, 58, pula berkata beliau tidak dapat mengikuti perkembangan semasa khususnya melalui televisyen yang menyebabkannya tidak mengetahui tentang penutupan pasar itu.

“Saya langsung tidak tahu kerana di rumah televisyen dikuasai oleh anak-anak, jadi nak tengok berita tak dapat. Dekat Pasar Sentral ini semua barang keperluan dapur ada dan ini menjimatkan masa kita membeli belah. Kalau dah tutup ini saya kena beli pula di beberapa tempat,” katanya yang merupakan pelanggan tetap pasar berkenaan.

Tinjuan Bernama mendapati MPS telah meletakkan notis berhubung penutupan sementara dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan Mandarin dengan beberapa pengawal keselamatan mengawal laluan masuk ke bangunan itu.

Sebelum ini dilaporkan, Pengerusi MPS Clarence Ting Ing Horh berkata penutupan pasar sentral selama dua hari bermula semalam, adalah bagi kerja-kerja sanitasi dan penjaja untuk membuat saringan COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )