Penerbangan Bawa Pulang Semula Palajar Sabah Bermula hari Ini

Penerbangan Bawa Pulang Semula Palajar Sabah Bermula hari Ini

KOTA KINABALU,. Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri Datuk Dr Yusof Yacob berkata penerbangan membawa pulang pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ke Sabah akan beroperasi semula hari Ini.

Katanya, empat penerbangan dari Semenanjung dan Sarawak akan membawa pulang seramai 1,027 pelajar IPT ke Sabah esok diikuti empat lagi penerbangan pada Khamis membabitkan 906 pelajar.

“Penerbangan seterusnya dijadualkan pada 27 dan 28 Mei ini. Tarikh penerbangan berikutnya akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sebelum ini, penerbangan membawa pulang penuntut IPT ke Sabah ditangguhkan sejak Isnin lepas dan dijadual semula bertujuan memudahkan urusan kemasukan pelajar ke pusat kuarantin di negeri ini.

Yusof berkata kerajaan negeri telah berusaha membawa balik semua pelajar sebelum Aidilfitri dan Pesta Kaamatan, namun, atas beberapa faktor seperti keperluan memenuhi prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan isu pusat kuarantin tidak mencukupi, maka hasrat itu tidak dapat direalisasikan.

Beliau berharap semua pelajar faham dengan tanggungjawab masing-masing untuk bersama-sama membendung penularan Covid-19 di Sabah.

Menurutnya, kerajaan negeri amat tegas dalam memastikan pergerakan balik pelajar mengikut SOP ditetapkan berikutan terdapat lima kes positif dalam kalangan pelajar IPT, setakat ini.

“Kepada pelajar yang belum sampai giliran balik ke kampung dalam jadual penerbangan sebelum Hari Raya dan Pesta Kaamatan, diminta bersabar dan bertenang di kediaman masing-masing.

“Adalah penting para pelajar semua balik ke rumah dalam keadaan benar-benar sihat agar tidak menjejaskan keluarga,” katanya.- Berita Sabah

CATEGORIES
TAGS
Share This