
Penerbangan ihsan TUDM bawa tiga bayi pesakit jantung dari Sabah
KUALA LUMPUR,. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semalam melakukan penerbangan ihsan membawa tiga bayi lelaki dari Kota Kinabalu, Sabah ke Pangkalan Udara Subang di sini yang memerlukan prosedur pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dengan segera.
Tiga bayi berkenaan dikenali sebagai Alvanneo Franruvis berusia 17 hari yang mengalami masalah saluran darah pada jantung, manakala Oddey Chin Kian Sin, 18 hari, dan Mohamad Afif Hakim Afifi Wahyudi, 21 hari, yang masing-masing mengalami masalah jantung berlubang.
TUDM dalam kenyataanya semalam menyatakan ketiga-tiga bayi berkenaan sebelum ini telah menerima rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah.
“Kesemua bayi itu dibawa dengan penerbangan ihsan menggunakan pesawat angkut A400M yang diterbangkan oleh juruterbang Mej In’Amul Hasan Shuhaimy Basha dan Mej Khairul Ikhmal Ishak dan pembantu juruterbang Kapt Mohd Amir Shahrin serta Kapt Mohd Mazhan Puteh @ Abdullah.
“Pesawat A400M berlepas dari Kota Kinabalu pada 1.09 tengah hari dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada 6.10 petang tadi, seterusnya dibawa ke IJN oleh pasukan petugas yang sedia menunggu ketibaan pesakit,” menurut kenyataan itu.
Kenyatan itu berkata TUDM sentiasa komited dalam melaksanakan tugas menjaga kedaulatan negara tercinta dan dalam masa yang sama turut menunaikan tanggungjawab kemanusiaan.
— BERNAMA