Peneroka, pekebun kecil dapat bantuan khas Aidilfitri

PUTRAJAYA,. Hampir 500,000 peneroka, peserta dan pekebun kecil yang terjejas akibat penularan Covid-19 mendapat perhatian kerajaan apabila mereka diberikan bantuan RM300 bagi sambutan Aidilfitri nanti.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Bantuan Khas Aidilfitri itu akan mula disalurkan pada 18 Mei ini.

“Kerajaan mengambil maklum kedudukan harga pasaran global komoditi seperti kelapa sawit dan getah yang kian merosot disebabkan penularan wabak Covid-19.

“Situasi ini secara langsung telah menjejaskan pendapatan hampir 500,000 peneroka, peserta dan pekebun kecil di bawah FELDA, RISDa dan FELCRA di seluruh negara,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu berkata, bantuan khas melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM148 juta itu akan memberikan manfaat kepada 113,000 peneroka FELDA, 90,000 pengusaha FELCRA kategori B40 dan 292,000 pekebun kecil RISDA iaitu mereka yang mengusahakan tanah berkeluasan tidak melebihi 2.5 hektar.

“Kerajaan berharap bantuan khas ini akan dapat meringankan beban warga agensi terlibat terutamanya dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )