Pengambilan vaksin sebagai persediaan ketahanan badan – Pakar kesihatan awam

Pengambilan vaksin sebagai persediaan ketahanan badan – Pakar kesihatan awam

KUALA LUMPUR,. Pengambilan vaksin mampu mempersiapkan ketahanan diri seseorang daripada serangan penyakit selain membolehkan tubuh badan menghasilkan sel-sel imuniti dan antibodi.

Pakar Perunding Kesihatan Awam yang juga Felow Akademi Sains Malaysia Profesor Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata itu adalah prinsip asas dalam pengambilan vaksin sebagai persediaan mendepani unsur-unsur luar atau kuman yang akan menyerang badan manusia.

“Dalam vaksin itu sendiri mempunyai kuman tetapi kuman itu bukanlah punca penyakit, jadi apabila kita suntik seseorang itu dengan vaksin, maka ia dapat melindungi kita daripada kuman yang sebenar,” katanya dalam wawancara di Bernama Radio semalam.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam (Kesihatan Awam) itu berkata vaksin tersebut mempunyai manfaat kepada individu dan masyarakat sekeliling sebagai perlindungan daripada jangkitan pada masa akan datang serta membantu melindungi masyarakat sebagai imuniti kelompok.

“Sebagai contoh, saya balik kampung dan kampung saya ada 100 orang, tetapi dalam 100 orang itu, 80 sudah mengambil vaksin tersebut, jadi kebarangkalian saya hendak jumpa 20 orang itu tipis dan ada kemungkinan tidak jumpa langsung.

“Tetapi dalam tempoh selepas seminggu, penyakit saya sudah tiada, jadi dengan sendirinya 20 orang itu sudah terlindung oleh kelompok orang ramai yang ambil vaksinasi tadi. Ini hanyalah bayangan yang dimaksudkan dengan imuniti kelompok itu tadi,” katanya.

Imuniti kelompok adalah keadaan yang menyaksikan agen infektif (atau jangkitan) tidak dapat memasuki atau menyebar dalam masyarakat kerana sebahagian besar daripada anggota masyarakat tersebut mempunyai imuniti dan terlindung daripada penyebab jangkitan serta cara terbaik mencapainya adalah melalui vaksinasi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This