Penganjuran TMC cungkil bakat muda pelayaran negara

Penganjuran TMC cungkil bakat muda pelayaran negara

KUALA TERENGGANU,. Penganjuran Terengganu Monsoon Challenge (TMC) 2021 berjaya mencungkil kira-kira 30 bakat muda dalam bidang pelayaran dari seluruh negara.

Timbalan Pengerusi TMC Mohd Hafizi Said yang juga Pengarah Pusat Latihan Pelayaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, pihaknya menerima 213 penyertaan daripada semua peringkat usia termasuk daripada atlet paling muda berusia lapan tahun.

“Ia satu perkembangan dan peluang yang baik dalam mencungkil bakat-bakat muda yang akan menjadi aset negara seterusnya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Kita juga berjaya menghidupkan kembali sukan pelayaran melibatkan atlet orang kurang upaya (OKU) dengan penyertaan seramai enam orang pada TMC kali ini,” katanya pada majlis penutup dan upacara penyampaian hadiah TMC 2021 di sini, semalam.

Upacara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak.

Terengganu muncul juara bagi kategori Pasukan Terbaik Piala Monsun, manakala gelaran pelayar terbaik pula diungguli oleh Iqbal Nazham Musmuliadi daripada pasukan Kedah.

Masing-masing menerima hadiah piala pusingan dan wang tunai.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This