Pengecualian visa disambut baik di Sabah, Sarawak

Pengecualian visa disambut baik di Sabah, Sarawak

KUCHING,. Pengumuman pengecualian visa kepada pengunjung dari beberapa negara diyakini dapat meningkatkan kehadiran pengunjung ke negara ini dan mengembalikan semula kemeriahan sektor pelancongan di Sarawak dan Sabah.

Menteri Pelancongan, Seni Kreatif dan Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak mengalu-alukan keputusan tersebut dan berharap sektor pelancongan di negeri ini melonjak pada tahun hadapan berbanding kehadiran tiga juta pengunjung pada tahun ini.

Pada masa yang sama, beliau juga berharap aspek keselamatan negara tidak diabaikan kerana berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pihak imigresen, ada pengunjung dari China yang masuk ke negara ini tidak mempunyai rekod keluar.

“Imigresen tidak tahu di mana keberadaan mereka, adakah mereka masih berada di dalam negara atau sebaliknya…kita perlu lebih berwaspada terhadap mereka yang datang. Kita mahu mereka yang datang betul-betul melancong, memberikan manfaat kepada sektor pelancongan, membawa keharmonian dan kesejahteraan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Agung Tritahunan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) di sini, pada Selasa.

Perdana Menter,i Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India untuk tujuan lawatan bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan mulai 1 Dis.

Bagi pemain industri pelancongan di Sarawak dan Sabah, mereka yakin langkah itu akan membantu sektor pelancongan negara termasuk di kedua-dua negeri itu.

Lina Tsen, 38, pemandu pelancong dari agensi pelancongan Cat City Holidays berkata, pengecualian visa itu disifatkan sebagai langkah positif yang boleh melonjakkan sektor pelancongan negara, kerana setelah sekian lama seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19 sudah tiba masanya Malaysia membuat perubahan bagi merancakkan sektor pelancongan.

“Banyak kesan positif, bukan sahaja memudahkan urusan pelancong yang datang malah sektor lain juga akan mendapat manfaat seperti sektor perhotelan, inap desa, kraftangan, operasi perkhidmatan makanan dan minuman serta peniaga kecil-kecilan turut mendapat manfaat. Ada yang datang atas urusan kerja, mereka ini cenderung untuk berbelanja selain mengambil peluang untuk melihat keistimewaan di negara kita,” katanya.

Seorang lagi pemandu pelancong, Catohrinner Joyce, 34, berkata, beberapa kemudahan seperti papan tanda di lapangan terbang juga perlu ditambah baik.

“Kita perlu menerima hakikat dalam usaha menerima pelancong pelbagai negara, kita juga perlu memperbaiki kemudahan sedia ada dengan papan tanda yang universal,” katanya.

Di SABAH, Pengerusi Koperasi North Borneo Semporna Berhad, Kerino Jalani berkata, dengan pengecualian visa, pelancong boleh datang ke Sabah untuk melawat pusat peranginan khususnya di kawasan pantai timur yang terkenal dengan keindahan pulaunya.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Pelancongan Bumiputra Tempatan Semporna berkata, kedatangan pelancong asing itu juga akan dapat menambahkan pendapatan para pengusaha resort dan chalet.

“Selain itu, para pengusaha juga akan dapat menaik taraf perkhidmatan dengan menawarkan tempat penginapan yang selesa dan memenuhi kehendak pelancong dari dalam mahupun luar negara,” katanya kepada Bernama.

Kerino yang juga memiliki pusat peranginan berkata, dengan kedatangan pelancong berkenaan, pengusaha tempatan juga akan dapat mempelajari dan meningkatkan penguasaan bahasa negara luar.

Pengarah Urusan Eko Pelancongan Pulau Buta juga Koperasi Perniagaan Akuakultur Sabah, Jessica Reyes berpendapat, langkah itu dilihat memberi kesan positif kepada kawasan yang mudah untuk dilawati pelancong.

Namun, beliau berkata, bagi kawasan pelancongan di daerah Lahad Datu agak sukar untuk dilawati oleh para pelancong luar kerana faktor utamanya ketiadaan lapangan terbang.

“Hanya pesawat Fokker sahaja boleh mendarat di sini (Lahad Datu), jadi kebanyakan pelancong kami harus membeli tiket penerbangan sambung, tiada penerbangan terus dari Kuala Lumpur (KL) ke Lahad Datu, Sandakan atau Tawau,” katanya yang juga Pembantu Setiausaha Persatuan Pelancongan Lahad Datu (PPLD).

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This