Pengeluar kondom Karex kembang pengeluaran hasilkan cecair pembasmi kuman

Pengeluar kondom Karex kembang pengeluaran hasilkan cecair pembasmi kuman

KUALA LUMPUR,. Pengeluar kondom terbesar dunia, Karex Bhd, mengambil kesempatan daripada penularan pandemik COVID-19 dengan mengembangkan pengeluaran produk pembasmi kuman.

Syarikat itu memulakan pengeluaran cecair pembasmi kuman di bawah jenama HANS pada Mac dan dijangka menghasilkan semburan pembasmi kuman pada akhir bulan ini serta tisu pengelap sebelum Ogos.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Goh Miah Kiat berkata syarikat itu membuat peralihan tersebut bagi menampung kekurangan produk cecair pembasmi kuman memandangkan proses pengeluaran mereka tidak memerlukan pengubahsuaian besar.

“Apa yang ingin kami katakan adalah, kami telahpun mempunyai tangki-tangki tersebut. Kami ada tangki pengadunan, mesin pembotolan dan ia telahpun ada di kilang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata antara perubahan yang dibuat termasuklah mengalihkan pengeluaran daripada berasaskan air kepada berasaskan alkohol serta menjalankan penyelidikan yang perlu untuk menghasilkan formula yang selamat dan efektif.

Goh berkata syarikat itu pada awalnya menghentikan pengeluaran pelincir bagi mengeluarkan cecair pembasmi kuman untuk menampung permintaan tempatan, tetapi ia kini menyambung semula pengeluaran pelincirnya.

Menurutnya, produk cecair pembasmi kuman syarikat itu bukan terdiri daripada sebahagian besar daripada rangkaian produknya tetapi dijangka berkembang pada masa depan.

“Setakat ini, kira-kira 100,000 botol telah dihasilkan. Cecair pembasmii kuman itu ketika ini dijual menerusi dalam talian,” katanya.

Karex menghasilkan satu daripada lima kondom dalam pasaran hari ini serta pelincir dan sarung bagi alatan perubatan.

Syarikat itu merekodkan kerugian bersih sebanyak RM1.13 juta dalam suku ketiga berakhir 31 Mac, 2020, daripada keuntungan bersih RM165,000 dalam tempoh yang sama tahun lepas, meskipun hasil meningkat kepada RM99.15 juta dalam suku tersebut daripada RM85.11 juta dalam suku ketiga 2019.

Menurut laporan Fior Markets, permintaan terhadap produk pembasmi kuman termasuk penyembur, gel, tisu pengelap dan buih dijangka berganda kepada US$2.14 bilion (US$1=RM4.26) menjelang 2027.

— BERNAMA

Oleh Nina Muslim

CATEGORIES
TAGS
Share This