Penggantungan RTS: Singapura berhak tuntut kos tambahan selepas 30 Sept

SINGAPURA,. Singapura berkata ia berhak untuk menuntut sebarang kos tambahan yang dikenakan selepas 30 Sept, 2019 sekiranya Malaysia meminta lanjutan tempoh penggantungan pembinaan Projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura .

Kementerian Pengangkutan Malaysia kelmarin memaklumkan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir untuk membuat keputusan mengenai projek itu dalam tempoh satu bulan hingga 31 Okt, 2019 tanpa sebarang kos tambahan.

“Atas semangat kerjasama dua hala, Singapura bersetuju dengan permintaan Malaysia untuk penggantungan tambahan satu bulan,” kata Kementerian Pengangkutan republik itu dalam satu kenyataan sebagai respons kepada pertanyaan media mengenai Projek Laluan RTS.

“Singapura juga bersetuju untuk mengecualikan kos tambahan yang ditanggung oleh Singapura dalam tempoh satu bulan yang timbul disebabkan permintaan Malaysia, tetapi berhak menuntut apa-apa kos tambahan yang dialami selepas 30 Sept, 2019 sekiranya Malaysia meminta lagi lanjutan tempoh penggantungan,” kata kenyataan itu.

Perjanjian untuk menggantung projek dari 1 April 2019 hingga 30 Sept 2019 ditandatangani oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke dan Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan pada 21 Mei 2019.

Menurut perjanjian itu, Malaysia akan membayar balik kira-kira RM2 juta kepada Singapura pada 31 Julai 2019, sebagai kos kegagalan yang ditanggung akibat penggantungan selama enam bulan.

Perjanjian dua hala mengenai RTS ditandatangani pada Januari tahun lepas semasa pentadbiran Barisan Nasional yang terdahulu.

Di bawah perjanjian asal, tambang sehala ditetapkan pada RM15 dan akan membebankan sesetengah rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke Singapura setiap hari.

Projek itu pada mulanya dijadualkan untuk pembinaan tahun ini dan dijangka siap pada Disember 2024.

Ia bertujuan untuk menangani kesesakan lalu lintas untuk perjalanan ulang alik antara kedua-dua negara itu setiap hari.

Projek Laluan RTS merangkumi landasan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar (Johor Baru) dan Woodlands (Singapura), dengan kapasiti untuk mengangkut 10,000 penumpang setiap jam.

Malaysia perlu membayar lebih daripada S$66 juta (RM200 juta) sekiranya ia memilih untuk menamatkan projek berkenaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )