‘Pengkor’ lonjakkan nama Bront di Indonesia

‘Pengkor’ lonjakkan nama Bront di Indonesia

KUALA LUMPUR,. Sejak filem adiwira Gundala ditayangkan di Indonesia bermula 29 Ogos lepas, nama pelakon Bront Palarae terus meniti di bibir peminat seni negara seberang itu.

Membawa watak antagonis ‘Pengkor’, Bront atau nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin, 41, berkongsi rasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada produksi filem itu kerana jalan penceritaannya yang berbeza termasuk konflik dalam politik.

“Gundala… ada aksi, ada kelakar, ada sedih dan ada segala macam tapi masih sebuah filem yang memberi makna dan memberi sesuatu. Jadi orang boleh bawa keluarga pergi tengok Gundala.


“Di samping itu, ia akan beri satu peringatan tentang hidup kita dan tanggungjawab kepada masyarakat,” katanya pada sidang media di majlis pra-tonton filem Gundala, di sini pada Jumaat.

Dalam filem yang diadaptasi daripada komik Gundala Putra Petir (1969), Pengkor merupakan watak orang yang berpengaruh dan mempunyai fikiran pintar, yang mahu masyarakat masa hadapan tidak mempunyai moral.

Bront berkata filem Gundala boleh dijadikan sumber inspirasi bagi pembuat filem tempatan untuk menghasilkan filem komersial yang mempunyai pengisian pengajaran yang baik di samping menghiburkan penonton dengan penggunaan lawak jenaka.

Ditanya sama ada Gundala mampu mendapat sambutan hangat daripada peminat filem di Malaysia, Bront berkata kaedah ‘mulut ke mulut’ sangat berkuasa dan dapat mempengaruhi khalayak untuk menonton filem berkenaan.

“Kuasa ‘mulut ke mulut’ lagi penting berbanding promosi filem secara besar-besaran kerana ia mempengaruhi minda dan perasaan orang untuk lebih tertarik menonton sesuatu filem.

“Jika filem itu menarik buat penonton yang sudah menonton Gundala, pasti penonton tersebut akan menceritakan keseronokkan Gundala dan orang yang tidak menonton lagi pasti akan tidak sabar untuk menonton filem ini,” katanya.

Diarahkan oleh Joko Anwar, filem itu dibintangi Abimana Aryasatya sebagai Sancaka atau Gundala, Tara Basro sebagai Sedhah Esti Wulan dan Muzakki Ramdhan sebagai Sancaka sewaktu kecil.

Gundala digambarkan watak adiwira yang mampu mengalahkan musuh dengan kekuasaan istimewa yang diperoleh daripada sumber petir.

Filem itu akan ditayangkan di Malaysia bermula 26 Dis ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This