Pengumuman pertukaran empat kali setahun legakan ramai guru

Pengumuman pertukaran empat kali setahun legakan ramai guru

KUALA LUMPUR,. Penyusunan semula proses pertukaran guru melibatkan empat kali pertukaran setahun seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin baru-baru ini, memberi peluang lebih baik kepada golongan pendidik untuk bertukar tempat bertugas.

Jika sebelum ini, pertukaran hanya dibuat dua kali setahun namun kini golongan pendidik boleh tersenyum lebar kerana menerusi pengumuman tersebut pertukaran guru akan dibuat pada setiap Mac, Jun, September dan Disember.

Bagi seorang guru yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, dia masih menaruh harapan untuk bertukar ke negeri kelahirannya di Kelantan walaupun permohonan pertukaran sudah dikemukakan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak 12 tahun lepas.

“Sehingga kini hasrat saya masih tidak kesampaian dan lebih menyedihkan permohonan pertukaran saya supaya lebih dekat dengan ibu bapa yang mengidap penyakit kronik tidak diluluskan sehingga kedua-duanya meninggal dunia dua tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurut Ahmad, isterinya turut berhadapan masalah sama apabila permohonan pertukarannya untuk tinggal dekat dengan ibunya yang lumpuh dan ayahnya yang mengidap penyakit kronik di Kelantan juga masih belum diluluskan.

Seorang lagi guru di Melaka yang hanya ingin dikenali sebagai Sue berkata beliau berharap dapat ditukarkan ke negeri kelahirannya di pantai timur sejak 16 tahun lepas, selepas suaminya meninggal dunia namun sehingga kini hasratnya itu belum tercapai.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Wang Heng Suan berkata langkah penyusunan semula pertukaran guru sebanyak empat kali untuk sepanjang tahun itu memberi peluang pertukaran lebih cerah bukan sahaja kepada guru yang berkeperluan tetapi juga pendidik dalam kategori pasangan guru ‘duka lara’ .

“Kekerapan kelulusan permohonan empat kali ini adalah baik, cuma KPM perlu memastikan pertukaran yang dibuat melibatkan penggantian serta-merta bagi mengelak jurang dan mengganggu sistem pembelajaran terhadap murid atau pelajar,” katanya.

Mengenai isu keengganan pelepasan oleh guru besar atau pengetua terhadap guru yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam satu-satu mata pelajaran, beliau berkata perkara itu perlu diberi pertimbangan terutama bagi pasangan suami isteri yang sudah lama terpisah.

Presiden Permuafakatan Persatuan Guru-guru dan Ibu bapa Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan pula berkata beliau percaya segala ketetapan daripada KPM itu telah diputuskan dengan teliti dan mendalam demi untuk menambah baik pembangunan sistem pendidikan negara.

“Peranan guru sangat penting dalam memberi kemahiran dan membentuk akhlak, oleh itu pertukaran guru ini biarlah ia ke arah lebih baik.

”Keseimbangan guru di bandar dan luar bandar juga perlu terutama melibatkan guru pakar, selain meneliti tempoh perkhidmatan guru di sesebuah sekolah supaya mereka tidak bosan mengajar di sekolah sama,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This