Pengurangan kadar tol 18 peratus bagi menjamin kesejahteraan rakyat – Lim
GEORGE TOWN,. Pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Bhd (PLUS) bermula 1 Feb ini dan tiada kenaikan kadar tol bagi tempoh 20 tahun konsesi dilanjutkan merupakan pertama kali dilaksanakan di negara ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata pendekatan baharu dilaksanakan kerajaan semasa itu adalah untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan juga bagi memastikan sebarang keuntungan turut dimiliki oleh rakyat.
“Inilah kali pertama bila lanjutan konsesi dibuat, pengurangan kadar tol dilakukan dan tiada kenaikan kadar tol … sebelum ini bila kerajaan terdahulu melanjutkan konsesi (sebelum konsesi PLUS tamat pada 2018 dan dilanjutkan 20 tahun lagi ke 2038) kadar tol tidak pernah turun …dan pada kali ini apabila kita (kerajaan semasa) lanjutkan tempoh konsesi dari 2038 ke 2058, kadar tol turun,” katanya.
Beliau berkata antara faedah yang dapat dinikmati dengan pengurangan kadar tol tersebut adalah penurunan itu akan tetap kekal sehingga tahun 2058.
“Jadi boleh bayangkan sehingga 2058 apa yang anda bayar masih sama. Ini adalah sepanjang masa, tidak akan dinaikkan dan itulah keistimewaanya …maka ini adalah satu perubahan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian naik taraf lif Perumahan Kastam Bukit Gelugor di sini, hari ini.
Ketika ditanya mengapa pengurangan kadar tol 18 peratus itu tidak termasuk bas dan lori, Lim berkata penjelasan berhubung perkara tersebut akan dibuat kemudian.
Berhubung kadar tol Jambatan Pulau Pinang yang turut diturunkan 18 peratus, Lim berkata pihak PLUS akan membuat penjelasan tentang perkara tersebut.
Pada masa ini penduduk Pulau Pinang menikmati kadar diskaun tol di jambatan itu sebanyak 20 peratus daripada RM7 kepada RM5.60.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan berkata pengurangan kadar tol tersebut akan bermula seawal 1 Feb depan dengan tiada kenaikan kadar tol sehingga 2058.
Lebuh raya yang terlibat adalah Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).
— BERNAMA