Pengurus kerugian RM11,000 ditipu pembelian dalam talian

Pengurus kerugian RM11,000 ditipu pembelian dalam talian

SIBU,. Seorang pengurus di sini mendakwa kerugian lebih RM11,000 apabila hanya menerima sebahagian kecil penutup hidung dan mulut yang ditempah daripada seorang individu menerusi sebuah aplikasi jualan dalam talian baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata pengurus berusia 37 tahun itu mendakwa telah membayar RM11,720 secara pindahan dalam talian kepada individu itu pada 30 Mac lepas untuk pembelian 158 kotak penutup hidung dan mulut pelbagai jenis.

“Namun pada 14 April lepas, pengadu (mangsa) hanya menerima 35 kotak penutup hidung dan mulut sahaja dan pada 23 April telah menerima satu lagi bungkusan (daripada penjual yang sama) berisi barangan seperti roti, sabun dan spaghetti,” katanya kepada pemberita di sini.

Mangsa seterusnya menghubungi syarikat kurier yang menghantar barangan itu dan diberitahu terdapat 24 kotak yang bertanda penutup hidung dan mulut yang sepatutnya dihantar kepadanya telah dikembalikan ke ibu pejabat syarikat kurier berkenaan di Kuala Lumpur.

Stanley berkata mangsa masih belum dapat memastikan sama ada kotak-kotak berkenaan mengandungi barangan seperti yang ditandakan pada kotak berkenaan.

“Dia (mangsa) turut menghubungi penjual barangan itu untuk mendapatkan kembali wang yang dibayarnya namun sehingga ke hari ini, penjual tersebut tidak mengembalikan wang pengadu menyebabkan mangsa membuat laporan polis semalam,” katanya dan menjelaskan kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This