Pengusaha inap desa harus bijak ambil peluang dalam industri pelancongan
SIMUNJAN,. Pengusaha inap desa (homestay) perlu bijak mengambil peluang dalam industri pelancongan dengan menyediakan lebih banyak ruang dan bilik untuk kegunaan pelancong.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, mereka perlu mengambil peluang ini dengan menawarkan perkhidmatan yang memenuhi citarasa pengunjung khasnya dari luar negara.
Menurutnya, apabila keadaan semakin pulih, Sarawak khasnya bakal menerima lebih ramai pelancong dan ini memerlukan persediaan awal dari segi industri hospitaliti.
“Kerajaan menerusi MOTAC turut mrnbantu menerusi dana bantuan khas berjumlah RM1,800 kepada pengusaha inap desa yang berdaftar untuk menaik taraf bagi keselesaan pengunjung.
“Kita juga turut menyedari di Sarawak khasnya di Kuching masih lagi kekurangan dari segi hospitaliti (hotel) dan oleh itu, pengusaha inap desa ini perlu bijak merebut peluang ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Esplanade Simunjan di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Aidel Lariwoo dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, dari segi pelancongan, pihaknya turut membantu ejen pelancongan meluaskan sektor terbabit di negara ini.
“Kita juga akan melakukan yang terbaik untuk menggesa agar mereka yang terlibat dalam industri pelancongan mendapat bantuan dan subsidi daripada kerajaan.
“Saya meminta agar perkara ini diberi perhatian kerana sekiranya mereka dibantu, ia secara tidak langsung meluaskan aktiviti pelancongan yang melibatkan perjalanan, makanan, mobiliti dan ekonomi setempat bertambah baik,” jelasnya.
Berhubung Esplanade Simunjan, Nancy berkata, akan ada satu arca berupa udang galah bakal dibina di esplanade berkenaan.
“Ia (arca udang galah) menunjukkan produk dan aktiviti yang dilakukan oleh penduduk setempat selain menyediakan hiasan payung gantung pelbagai warna dan lukisan mural,” jelasnya lagi.
oleh
Hamkar Sarbinee