Peniaga kecil di Banda Hilir cari alternatif tambah pendapatan

Peniaga kecil di Banda Hilir cari alternatif tambah pendapatan

MELAKA, 8 Nov — Cuti hujung minggu yang dahulunya meriah dengan pengunjung dari seluruh negara di destinasi pelancongan Banda Hilir di sini kian sepi sekali gus menyukarkan penjaja kecil seperti Khalid Embong, 65, yang lebih dikenali sebagai Pak Cik Khalid, meraih pendapatan demi kelangsungan hidup apatah lagi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok hingga hingga 6 Dis depan.

Pak Cik Khalid, yang menjual buah-buahan dengan motosikal, berkata beliau reda dengan keadaan itu serta menganggapnya sebagai ujian dan bagi menampung keperluan keluarga, beliau turut menjual nasi lemak setiap pagi untuk menambah pendapatan.

Khalid, yang tinggal di Permatang Pasir, berkata sebelum ini beliau akan keluar ke kawasan tumpuan pelancong pada 10.30 pagi untuk menjual buah-buahan potong yang berharga RM2 sebungkus sehingga 3 petang selepas semua habis dijual.

“Memang keadaan ketika ini agak sukar. Dahulu hasil jualan boleh mencecah RM150 sehari tetapi sekarang nak habiskan pun susah atau kena tunggu sampai lewat petang.

“Disebabkan usia yang sudah tua, kerja ini sahaja yang saya mampu lakukan, apabila PKPB dilaksanakan esok di negeri ini, saya tetap menjual nasi lemak seperti biasa dan menghantarnya ke kafe atau kedai yang ramai orang, walaupun tidak lumayan tetapi syukur masih mencukupi,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Pengayuh beca, Yaakob Samad, 75, pula berkata pelaksanaan PKPB yang bermula esok akan menyebabkan mata pencarian golongan sepertinya terjejas teruk namun mereka terpaksa akur dengan perintah itu demi kebaikan semua pihak untuk memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19.

Aktiviti mengayuh beca terpaksa dihentikan kerana tiada langsung pengunjung di kawasan itu semasa PKPB sebelum ini dan beliau hanya duduk di rumah sepanjang tempoh pelaksanaan perintah itu.

“Mungkin pendapatan langsung tidak ada dalam tempoh itu namun syukur masih ada duit belanja daripada anak-anak selain simpanan tetapi apa yang penting, keadaaan ini perlu dipulihkan supaya ia tidak berterusan dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, seorang pelancong, Muhammad Faiz Jamaluddin, 36, berkata bekerja sendiri dengan melakukan pemasaran secara dalam talian mungkin langkah terbaik untuk menghentikan penularan virus tersebut.

“Keadaan ini sememangnya memberi kesan kepada semua orang terutama yang bekerja sendiri, saya juga sukar untuk berjumpa dengan pelanggan bagi urusan perniagaan kerana larangan rentas daerah dan kita berharap keadaan ini segera pulih,” katanya.

Kerajaan Persekutuan semalam mengeluarkan arahan pelaksanaan PKPB di seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan selama empat minggu bermula esok susulan kes jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This