Peniaga kecil harap Belanjawan 2021 bantu rancakkan kembali sektor pelancongan

Peniaga kecil harap Belanjawan 2021 bantu rancakkan kembali sektor pelancongan

MELAKA,. Saban hari, tepat pukul 9 pagi, menjadi rutin Farah Ashaari, 29, memulakan perniagaan gerai makanan di perkarangan Taming Sari, Banda Hilir di sini, yang merupakan kawasan terkenal dengan aktiviti pelancongan, di bandar raya bersejarah ini.

Namun, sejak September lepas, kehadiran pelancong di gerainya berkurangan berikutan peningkatan kes positif COVID-19 selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang, Putrajaya dan Selangor, yang menjadi antara penyumbang terbesar pelancong ke negeri ini.

Menurutnya, sebelum ini kedainya meriah dengan kunjungan pengunjung dari serata tanah air sejak aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun kini, kedainya yang dibuka hampir setiap hari hanya sekadar menjadi ‘penghias’ di kawasan pelancongan tersebut.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini, Farah berharap sektor pelancongan akan diberi perhatian terutama, pemain industri dan peniaga kecil seperti beliau yang terkesan daripada segi pendapatan akibat kesuraman aktiviti pelancongan.

“Harapan kami, kerajaan dapat mengambil langkah sewajarnya dengan insiatif-inisiatif baharu untuk merancakkan kembali sektor pelancongan yang menjadi aktiviti utama ekonomi di sini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi peniaga kraftangan, Muhammad Ridzuan Khairudzin, 27, perniagaannya di Pahlawan Walk turut terkesan dan dakwa beliau, adakalanya untuk mendapat hasil jualan RM50 sehari juga sukar kerana kekurangan pelancong.

Katanya, suasana itu amat berbeza pada pertengahan Julai lepas, semasa kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri yang menyaksikan peningkatan mendadak jumlah pengunjung dari seluruh pelosok negara namun ia bagaikan berubah sekelip mata sejak peningkatan kes COVID-19 dan pelaksanaan PKPB, baru-baru ini.

“Saya berharap kerajaan dapat mencari penyelesaian terutamanya untuk membendung penularan wabak ini dengan baik bagi memastikan kes-kes terkawal agar aktivti ekonomi dapat berjalan seperti biasa,” katanya.

Berkongsi pendapat sama, pengayuh beca, Mohammad Sabree Ozainee, 45, berharap dalam pembentangan Belanjawan 2021 ini, kerajaan dapat memberi bantuan kewangan atau seumpamanya bagi membantu golongan B40 yang bekerja sendiri seperti dirinya.

“Kami berharap industri pelancongan di negeri ini dapat bertahan dalam tempoh sukar ini sekali gus dapat membantu pengayuh-pengayuh beca menghadapi keadaan ini dengan lebih baik pada masa depan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This