Peningkatan eksport bersih dijangka menyumbang kepada KDNK suku ketiga

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 28 Okt — Peningkatan eksport bersih dijangka menyumbang secara positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2020, yang dijadual dikeluarkan pada bulan depan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata eksport nominal bagi suku ketiga berkembang 4.4 peratus dari tahun ke tahun daripada penguncupan sebanyak 15.1 peratus dalam suku sebelumnya, manakala import melemah 6.3 peratus, lebih kecil daripada kadar dua digit pada suku sebelum ini.

Secara keseluruhan, baki lebihan dagangan melebar daripada RM27.6 bilion pada suku kedua kepada RM60.4 bilion pada suku ketiga, yang mewakili pertumbuhan 68.4 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Bagi September, jumlah eksport Malaysia adalah lebih baik daripada jangkaan pada 13.6 peratus berbanding pertumbuhan 2.0 peratus yang dianggarkan Bloomberg, katanya kepada Bernama.

Pertumbuhan prestasi bulan lepas disumbangkan terutamanya oleh eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih tinggi iaitu pada 33 peratus dan lonjakan dalam produk getah sebanyak 115.8 peratus.

“Secara menyeluruh, ini adalah satu perkembangan positif dan prosedur operasi standard yang diperkenalkan adalah amat bertepatan dalam usaha memastikan pembukaan semula ekonomi termasuk penyertaan lebih banyak langkah rangsangan daripada kerajaan,” tambah Mohd Afzanizam.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih wujud risiko berterusan selepas data terkini menunjukkan jangkitan baharu COVID-19 telah melonjak, seterusnya, memberi ancaman terhadap aktiviti ekonomi dengan pelaksanaan semula langkah-langkah sekatan disasarkan di negeri-negeri tertentu.

“Jadi, pemulihan masih baru bermula dan ia sangat bergantung kepada sejauh mana penyebaran virus ini dapat dibendung dan berapa lama lagi vaksin akan ditemui dan diedarkan,” katanya lagi.

Sementara itu, MIDF Research dalam satu nota berkata ia mengekalkan ramalan eksport pada -3.5 peratus untuk tahun ini.

“Dengan prestasi terkini pada September, pertumbuhan eksport dari tahun hingga sekarang Malaysia dipuratakan pada -3.7 peratus, rendah sedikit di bawah ramalan tahun penuh kami sebanyak -3.5 peratus,” katanya dalam satu nota.

RHB Research juga mengekalkan unjuran eksport nominalnya pada -6.0 peratus, dengan risiko kelemahan kepada permintaan global masih kekal besar selepas banyak negara sedang menerima peningkatan kes COVID-19 yang baharu.

“Melihat kepada sifat komoditi yang sentiasa tidak stabil, harga minyak sawit mungkin jatuh kembali, yang boleh membawa kepada potensi pertumbuhan eksport yang lebih rendah di bawah garis.

“Di samping itu, peningkatan jumlah kes COVID-19 di peringkat global telah mendorong beberapa negara untuk mengukuhkan langkah-langkah sekatan, mengekalkan permintaan global di dalam kawalan,” kata Ahli Ekonomi Ahmad Nazmi Idrus dalam satu nota.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )