Peningkatan inventori AS seret turun harga minyak
TOKYO,. Harga minyak turun hari ini, mengetepikan kenaikan kukuh dalam sesi sebelumnya, selepas laporan industri menunjukkan stok minyak mentah Amerika Syarikat (AS) meningkat minggu lalu, berbanding jangkaan peningkatan oleh penganalisis.
Minyak mentah Brent turun 18 sen, atau 0.3 peratus, pada AS$60.52 satu tong pada 0040 GMT. Brent naik 4.2 peratus semalam.
West Texas Intermediate (WTI) turun 23 sen, atau 0.4 peratus, pada AS$56.03 satu tong, selepas meningkat 4.3 peratus pada sesi sebelumnya, kenaikan terbesar dalam hampir dua bulan.
Stok minyak mentah AS naik minggu lalu, sementara inventori petrol dan stok minyak disuling merosot, demikian menurut data kumpulan industri American Petroleum Institute (API) Rabu.
Inventori minyak mentah meningkat sebanyak 401,000 tong pada minggu berakhir pada 30 Ogos kepada 429.1 juta, berbanding jangkaan penganalisis penurunan sebanyak 2.5 juta tong.
Stok minyak mentah di hab penghantaran Cushing susut sebanyak 238,000 tong, sementara minyak mentah ditapis turun sebanyak 306,000 tong sehari, kata API.
Harga minyak melonjak pada Rabu selepas tinjauan menunjukkan bahawa aktiviti di sektor perkhidmatan China berkembang pada kadar terpantas dalam tempoh tiga bulan pada Ogos apabila pesanan baharu meningkat.
China adalah pengguna minyak kedua terbesar di dunia dan pengimport terbesar.
Tetapi sebagai bukti bahawa perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China memukul ekonomi di seluruh dunia, harapan pertumbuhan permintaan minyak telah berkurang. – Reuters