
PENJANA: Sektor seni, budaya, hiburan, penganjuran acara bakal bangkit semula
KUALA LUMPUR,. Dana sokongan bagi sektor seni, budaya, hiburan dan industri penganjuran acara sebanyak RM225 juta melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menjadi titik permulaan ekonomi pemain industri itu bangkit susulan pandemik COVID-19.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil menyifatkan peruntukan oleh kerajaan itu akan memanfaatkan majikan terutamanya penerbit produksi untuk menjana kembali pendapatan syarikat khususnya menjamin kelangsungan pekerjaan kepada penggiat seni misalnya pekerja belakang tabir.
“Secara keseluruhan dana khas dan sokongan ini akan memberi manfaat dan kelegaan kerana membantu merangsang semula ekonomi industri seni kreatif merangkumi filem, iklan, muzik dan sebagainya.
“Apa yang kerajaan buat adalah satu perkara yang baik dan bertepatan untuk merangsang ekonomi industri seni dan dengan bantuan sebanyak RM225 juta ini banyak yang boleh dilakukan (penggiat seni) seperti membayar gaji terutamanya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Di bawah teras ketiga PENJANA iaitu merangsang ekonomi, sokongan pemulihan itu diberikan khusus untuk membantu industri berkenaan mencari dan menggunakan peluang ekonomi terutamanya dalam ruang digital bagi membentuk kelebihan persaingannya.
Rozaidi atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi berkata sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Seniman menerima banyak aduan daripada penggiat seni yang mereka tiada pekerjaan dan sukar untuk menjana pendapatan.
“Rangsangan oleh kerajaan ini secara tidak langsung telah menggerakkan kembali ekosistem industri seni untuk bekerja seperti asal mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Sejak 10 Jun lalu, mereka sudah mula bekerja seperti biasa selepas kerajaan mengeluarkan SOP produksi,” katanya.
Beliau berkata pemain industri seni harus merebut peluang yang ada pada ketika ini untuk bergerak secara aktif demi kelangsungan industri pada masa hadapan dengan menggunakan bantuan yang diterima dengan sebaik mungkin.
Pelaksanaan dana khas dan sokongan sektor tersebut dijangka mulai Jun.
Kerajaan menyediakan sokongan RM100 juta pinjaman mudah dengan faedah 3.5 peratus dan RM30 juta geran untuk industri kreatif, acara dan pameran di bawah MyCreative Ventures dan RM10 juta adalah di bawah CENDANA.
Senada dengan pandangan Seniman, Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Nizam Abd Razak menyifatkan kerajaan menyedari kepentingan industri seni kreatif dan animasi untuk masa depan negara selain gembira kerajaan memberi fokus kepada sektor seni kreatif secara khusus.
“Dana disediakan kerajaan ini perlu sampai ke pelbagai lapisan dalam sektor seni kreatif. Ia perlu ada projek yang boleh melibatkan ramai pihak dalam sektor ini, sebagai contoh mungkin perlu ada projek bersama. Antologi (koleksi karya sastera) AniMY yang boleh melibatkan pelbagai studio animasi dan kreatif,” katanya.
Nizam berkata bagi merangsang semula ekonomi industri kreatif, satu fokus diperlukan iaitu dengan mengeksport animasi tempatan ke luar negara kerana kandungan kreatif seperti animasi BoBoiBoy adalah yang paling berpotensi dan sering mendapat permintaan luar.
Mengulas lanjut, Nizam yakin Dana Kandungan Digital sebanyak RM35 juta melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membiayai projek sektor kreatif akan memberi fokus kepada inisiatif animasi dan visual adalah mencukupi serta mampu memberi impak kepada segenap lapisan syarikat dan individu.
“MDEC mempunyai model rangka kerja dana yang kukuh dan banyak membantu syarikat animasi berkembang sejak lebih dua dekad lagi. Dengan rancangan yang tepat dan teliti, banyak lagi karya animasi berkualiti dan mencerminkan budaya kita dapat dihasilkan,” katanya.
Presiden Malaysian Indian Association of Event (MIAE) Datuk K. Sivakumar berkata pihaknya menyambut baik inisiatif kerajaan untuk membantu usahawan India yang bergiat dalam industri penganjuran acara.
“MIAE akan merancang program-program khas yang boleh menjana perdapatan melalui expo perkahwinan dan juga acara yang lebih bermanfaat kepada usahawan India. Jangkaan kami adalah lebih 250 acara berskala besar mampu dijalankan dan tertakluk kepada SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
Kerajaan menyediakan sokongan pulangan nilai pemasaran digital sebanyak RM50 juta diperoleh dari RM10 juta bagi Geran Pemasaran Digital dan Promosi di bawah MyCreative Ventures dengan siling sebanyak RM5,000 bagi setiap acara. Ini akan memanfaatkan 2,000 acara, pameran dan produksi.
— BERNAMA
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad