Penternak kupang hilang ketika selamatkan sampan dijumpai mati lemas

Penternak kupang hilang ketika selamatkan sampan dijumpai mati lemas

SHAH ALAM,. Seorang penternak kupang yang dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan sampannya selepas terlepas tali tambatan di Kelong Kupang Sungai Tiga, Sungai Pulai, Sabak Bernam semalam, ditemukan mati lemas, pagi ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata mayat mangsa Jam Md Ross, 43, ditemukan 4.2 batu nautika dari Sungai Pulai pada pukul 9.20 pagi tadi.

Beliau berkata mayat mangsa yang dijumpai terapung dibawa ke jeti nelayan Sungai Pulai dengan bantuan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor untuk diserahkan kepada polis bagi siasatan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat yang diaktifkan sejak semalam ditamatkan pada pukul 10 pagi tadi. Kami berterima kasih kepada komuniti nelayan yang turut membantu melakukan pencarian mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Mohammad Rosli menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengamalkan pemakaian jaket keselamatan ketika turun ke laut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan, maklum balas atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03- 31769100/0627.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This