Pentingnya ekonomi kecil, amat terbuka ada pembayaran rentas sempadan

Pentingnya ekonomi kecil, amat terbuka ada pembayaran rentas sempadan

KUALA LUMPUR,. Penting untuk ekonomi kecil dan bersifat amat terbuka seperti Malaysia mempunyai perkhidmatan pembayaran rentas sempadan yang cekap bagi menyokong perdagangan dengan negara-negara jiran serta negara di seluruh dunia.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata bank pusat kini meneruskan pelbagai usaha di banyak peringkat seperti memautkan sistem pembayaran pantasnya, DuitNow, dengan negara-negara jiran ASEAN.

“Ini bukan sesuatu yang sukar. Di Malaysia, DuitNow membolehkan berjuta-juta individu dan perniagaan memindahkan wang serta-merta dan lancar. Bayangkan, jika kita boleh melaksanakan sistem yang sama bagi seluruh rantau ini untuk menjadikan pembayaran rentas sempadan lebih murah, lebih pantas, lebih telus dan mudah diakses bagi lebih 600 juta penduduk di rantau ini. Kesan ekonomi akan menjadi ketara.

“Ekonomi ASEAN amat bersepadu, dengan perdagangan intra-ASEAN menyumbang bahagian terbesar kepada jumlah perdagangan di ASEAN. Jadi, fikirkanlah bagaimana ini boleh membawa perubahan untuk membantu warga dan perniagaan dalam perdagangan dan pelancongan,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian semasa sesi bicara kasual 1 bertema ‘Pembayaran Rentas Sempadan Lebih Murah, Lebih Telus dan Lebih Terangkum untuk Merangsangkan Pemulihan Ekonomi Serantau’ pada Festival Ekonomi dan Kewangan Digital Indonesia anjuran Bank Indonesia.

Pengarah Urusan Penguasa Kewangan Singapura, Ravi Menon; Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas, Felipe Medalla; dan Timbalan Gabenor Bank of Thailand, Ronadol Numnonda turut menyertai sesi bicara itu secara maya, selain Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo.

Nor Shamsiah berkata dengan lebih 10 juta penduduk di ASEAN tinggal, bekerja dan belajar di negara lain dalam rantau ini, penyepaduan sistem pembayaran pantas akan mentransformasikan perkhidmatan pembayaran rentas sempadan dan membawa manfaat pembayaran segera dan kos rendah yang dinikmati di peringkat domestik kepada ruang rentas sempadan.

Malaysia telah melancarkan pautan pembayaran QR dengan Thailand dan Indonesia menerusi usaha mengembangkannya untuk menyokong pemindahan antara rakan setara malah inisiatif yang sama juga sedang dilaksanakan dengan Singapura dan Filipina, katanya.

Beliau berkata usaha mewujudkan hubungan dua hala dalam aspek sistem pembayaran di ASEAN adalah penting, namun semua pihak juga perlu mula memikirkan bagaimana meneruskannya supaya ia berfungsi secara lebih cekap di peringkat serantau dan global.

“Sebab itulah kita menyertai bukti konsep Projek Nexus untuk menguji kebolehlaksanaan usaha mewujudkan rangkaian sistem pembayaran pantas yang lebih boleh skala dan berbilang hala.

“Menerusi Projek Dunbar, kita juga bekerjasama dengan hab inovasi Bank for International Settlements (BIS) dan bank pusat Australia, Singapura dan Afrika Selatan untuk menguji penggunaan mata wang digital bank pusat (CBDC) borong untuk penyelesaian antarabangsa menerusi platform yang dikongsi bersama,” katanya.

Nor Shamsiah berkata BNM juga melaksanakan migrasi seluruh industri kepada standard pemesejan ISO20022 di mana selain memudahkan pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas dan lancar, institusi kewangan turut diharap meraih manfaat daripada pembayaran yang membawa data yang besar untuk menambah baik pengurusan risiko dan menawarkan lebih banyak perkhidmatan bernilai tambah.

Berdasarkan banyak perkara menarik yang berlaku dalam pembayaran rentas sempadan, ini akan memberi manfaat kepada ekonomi ASEAN dengan meningkatkan kecekapan dan melonjakkan keterangkuman kewangan, katanya.

Beliau berkata untuk memanfaatkan faedah saling kendali secara optimum, pengaturan pembayaran rentas sempadan perlu mempunyai ciri-ciri keberkecualian, kesetaraan dan keterangkuman.

Mengenai keberkecualian, pengaturan pembayaran rentas sempadan mesti bersifat agnostik teknologi untuk menyokong model kesambungan dan pembayaran yang pelbagai dengan memastikan pautan direka bentuk secara fleksibel, katanya.

Beliau berkata ini supaya ia boleh menyokong model kesambungan baharu, yang boleh menyesuai dengan mana-mana sistem CBDC yang mungkin.

“Kita juga perlu memberi perhatian bahawa setiap negara berada pada peringkat pembangunan yang berbeza, dan ada negara yang tidak mempunyai sistem pembayaran pantas ketika ini,” katanya.

Beliau berkata mengenai kesetaraan, pengaturan pembayaran rentas sempadan perlu berusaha untuk membenarkan akses yang saksama dan terbuka kepada semua bank dan penyedia perkhidmatan pembayaran bukan bank.

Ini akan memupuk persaingan antara peserta, di mana inovasi akan berkembang melalui kerjasama di peringkat infrastruktur dan persaingan dari segi produk, katanya.

Sementara itu, mengenai aspek keterangkuman, Nor Shamsiah berkata terdapat keperluan untuk memenuhi kaedah atau langkah baharu analisis sistem dan keperluan kumpulan pengguna yang berbeza.

“Pautan sistem pembayaran pantas Malaysia telah direka bentuk untuk memudahkan skalabiliti bagi memenuhi sebarang perubahan model perniagaan dan pengembangan masa depan. Usaha menangani cabaran peringkat akhir iaitu memastikan semua segmen masyarakat dapat meraih manfaat daripada pembayaran rentas sempadan yang selamat dan cekap juga penting.

“Contohnya, untuk memudahkan migran yang tidak mampu membeli telefon pintar bagi menghantar wang ke negara mereka, perkhidmatan pengiriman wang rentas sempadan juga harus menyokong pemindahan menggunakan saluran yang menawarkan kos berpatutan seperti ‘feature phone’ dan kad pintar,” katanya.

‘Feature phone’ merupakan telefon mudah alih yang mempunyai ciri tertentu seperti kemampuan untuk akses Internet dan menyimpan serta memainkan muzik namun, kekurangan fungsi canggih yang dimiliki telefon pintar.

Beliau berkata pembayaran adalah mengenai rangkaian dan sistem memandangkan banyak peserta dan bahagian yang terlibat, oleh itu, apabila inisiatif pembayaran rentas sempadan dilaksanakan, cabarannya dijangka semakin hebat.

Cabaran utama termasuk memperoleh komitmen kukuh daripada semua pihak untuk memastikan projek dilaksanakan dengan lancar dan tepat masa; memastikan daya maju jangka panjang infrastruktur pembayaran rentas sempadan dan mengenal pasti rangka kerja tabdir urus dan pengurusan risiko yang sesuai berdasarkan sifat rentas sempadan bagi infrastruktur pembayaran dan kemungkinan kepentingan sistemik bagi negara, individu dan sebagai satu kumpulan.

“Kami masih belajar, dan saya tidak mempunyai penyelesaian yang mudah dan luar biasa tetapi, dalam fikiran saya, terdapat dua prinsip yang saya dapati telah membantu kami mengatasi cabaran ini. Pertama, kita perlu mewujudkan cadangan nilai yang jelas kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat.

“Dalam hal ini, kami mendapati kerjasama secara aktif lebih awal dengan industri untuk mewujudkan model perniagaan yang sesuai adalah penting. Ini boleh membantu membentuk dan memaklumkan keutamaan inisiatif dan memastikan hasil sama menang untuk semua peserta,” katanya.

Beliau berkata yang kedua, terdapat keperluan untuk menggalakkan perkongsian sektor awam-swasta yang kukuh, dan secara idealnya, industri harus memacu inisiatif pembayaran rentas sempadan.

Nor Shamsiah berkata bagaimanapun realitinya adalah kerumitan membangunkan dan mengembangkan rangkaian merentas ekonomi bermakna bank pusat mesti melaksanakan peranan penting termasuk menetapkan pendirian dan visi keseluruhan, membuka pintu, menetapkan rentak, memupuk kerjasama dan menyelesaikan perbezaan serta isu dalam kalangan pihak berkepentingan yang berbeza.

“Bagi kami di BNM, kami mendapati penubuhan Jawatankuasa Pemandu Projek dalam setiap inisiatif pembayaran rentas sempadan yang kami sertai amat berguna bagi memupuk penjajaran strategik dan memastikan penyelesaian isu adalah tepat pada masanya untuk memacu projek ke hadapan.

“Pengaturan juga menyediakan laluan untuk memastikan sebarang usaha adalah disokong oleh rangka kerja tadbir urus dan pengurusan risiko yang sesuai dan mencukupi untuk mengurus risiko dalam kedua-dua bidang kuasa.

“Faktor kejayaan utama usaha ini adalah memastikan semua jawatankuasa ini mempunyai perwakilan pemegang kepentingan yang cukup pelbagai di samping proses membuat keputusan yang adil dan saksama,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This