Penunjuk perasaan Hong Kong rayu sokongan Canselor Jerman

BERLIN,. Ketua penunjuk perasaan Hong Kong hari ini merayu sokongan Canselor Jerman, Angela Merkel untuk sistem demokrasi dalam lawatan beliau ke China minggu ini.

Ketua aktivis, Joshua Wong dan beberapa lagi menulis surat terbuka yang disiarkan akhbar harian dengan edaran tertinggi, Bild dan merujuk kepada latar belakang Merkel ketika wanita itu membesar dalam persekitaran polis komunis di Jerman Timur.

“Anda memiliki pengalaman membesar dengan penuh ketakutan bersama kerajaan diktator.

“Kerajaan Jerman ketika itu dengan berani menentang autokrasi pada tahun 80an.

“Kami berharap anda akan meluahkan keprihatinan berhubung situasi buruk yang kami alami ketika ini dan sampaikan permintaan kami kepada kerajaan China semasa lawatan anda,” tulis Wong yang ditahan sementara beberapa minggu lalu susulan tunjuk perasaan.

Wong dan barisan aktivis lain turut memberi amaran bahawa Jerman perlu berhati-hati sebelum berurusan dengan China kerana China tidak mematuhi undang-undang antarabangsa, malah berulang kali memungkiri janji.

Merkel bermula esok akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke China, iaitu rakan dagangan utama dan terbesar ke atas ekonomi Kesatuan Eropah (EU).

Hong Kong kebelakangan ini dilatari siri tunjuk perasaan yang kadang kala bertukar ganas, dicetuskan oleh usaha Ketua Eksekutif, Carrie Lam dalam meluluskan rang undang-undang ekstradisi ke China.

Bantahan itu merebak kepada kempen demokrasi yang turut membabitkan pertempuran bersama pihak berkuasa, sekali gus menjadi cabaran terbesar China dalam mentadbir Hong Kong sejak mengambil alih kepulauan itu dari British pada 1997.

Tunjuk perasaan berkenaan mendatangkan kemarahan China yang mengancam akan menggunakan khidmat pasukan keselamatan jika ia berterusan. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This