Penurunan berturut-turut OPR BNM disebabkan cabaran getir global dan domestik

Penurunan berturut-turut OPR BNM disebabkan cabaran getir global dan domestik

KUALA LUMPUR,. Penurunan berturut-turut Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) adalah disebabkan terutamanya cabaran getir di dalam negara dan juga di persada global berikutan krisis pandemik COVID-19, kata MIDF Research.

BNM hari ini mengumumkan pengurangan OPR sebanyak 50 mata asas kepada 2.00 peratus — penurunan ketiga setakat ini pada tahun ini.

MIDF Research berkata ketidaktentuan global berikutan pandemik, ancaman dasar perlindungan perdagangan dan harga komoditi yang tidak menentu masih berterusan dan dijangka menjejaskan trajektori prestasi perdagangan luar Malaysia.

“Oleh itu, kami percaya dasar monetari pengembangan akan menyediakan sokongan kepada ekonomi domestik menerusi penggunaan swasta dan pelaburan,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini.

MIDF Research berkata ia melihat lebih banyak risiko menurun sambil menambah prestasi ekonomi Malaysia tahun ini akan dipengaruhi sebahagian besarnya oleh penularan COVID-19 selain faktor-faktor lain seperti peningkatan dasar perlindungan perdagangan, ketidakstabilan kewangan global dan perang harga minyak.

Penggunaan swasta, pelaburan dan perdagangan luar dijangka terjejas teruk akibat daripada COVID-19 namun, penggunaan dasar fiskal dan juga monetari akan meringankan beberapa kesan pandemik itu ke atas ekonomi.

MIDF Research berkata ia menjangkakan satu lagi penurunan kadar bagi tahun ini.

“Anggaran awal kami adalah OPR mencecah paras dua peratus dengan dua penurunan; 25 mata asas setiap satu pada 2020. Bagaimanapun, berdasarkan kepada penurunan terkini 50 mata asas, kami mengunjurkan penurunan 25 mata asas lagi bagi tahun ini,” kata firma penyelidikan itu.

Terdahulu, OCBC Bank dalam laporannya berkata walaupun keperluan untuk mengurangkan beban impak ekonomi akibat pandemik itu tinggi, namun BNM mungkin masih tidak mahu menjadikan penurunan kadar faedah sebagai ‘ubat penahan sakit’ disebabkan wujudnya potensi kesan sampingan.

Ia berkata justeru, BNM memilih penurunan sebanyak 50 mata asas hari ini yang sesuai dengan jangkaan konsensus, kerana masalah ekonomi adalah besar.

“Nampaknya prerogatif untuk mendorong pertumbuhan adalah jauh lebih berat daripada masalah lain. Berasaskan unjuran BNM bahawa inflasi susut ke paras negatif tahun ini, dan ia telah menyediakan ruang untuk penurunan selanjutnya,” kata OCBC Bank.

BNM juga mengumumkan mulai 16 Mei, bank-bank dapat memenuhi Keperluan Rizab Berkanun (SRR) mereka sepenuhnya pada nisbah 2.0 peratus sedia ada dengan memegang bon kerajaan seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia.

Langkah itu berkuat kuasa sehingga akhir Mei 2021.

Mengenai perkara ini, OCBC Bank berkata langkah BNM tersebut seumpama serampang dua mata, memandangkan langkah itu menyediakan tambahan mudah tunai kepada sistem perbankan, mengeluarkan anggaran mudah tunai sebanyak RM16 bilion.

Ia berkata justeru, BNM secara tidak sengaja telah membantu meringankan beban bank, kerana bank-bank menanggung beban moratorium pinjaman melalui pembayaran pinjaman tertunda, dan menghadapi peningkatan pinjaman tidak berbayar berikutan prospek pertumbuhan yang buruk.

Susulan pengumuman pengurangan dasar itu hari ini, OCBC Bank berkata margin faedah bersih (NIM) bank akan menjadi lebih terhad, oleh itu, langkah tersebut mungkin dilihat sebagai sokongan kepada bank-bank.

Langkah berkenaan juga sewajarnya menggalakkan permintaan akhir terhadap bon kerajaan, katanya.

“Ketika terdapat kenaikan berpotensi bagi terbitan itu susulan keperluan defisit fiskal, mencari permintaan baharu bagi bon adalah digalakkan, dengan keadaan itu, bank-bank diberi insentif untuk menjadi pembeli marginal baharu bersih,” menurutnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This