
Penyampai radio direman tiga hari dipercayai keluar kenyataan jelik hina TMJ
JOHOR BAHRU, 10 Mei — Seorang pelakon dan penyampai radio popular direman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas dia disyaki memuat naik kenyataan jelik dengan tujuan menghina Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Institusi Diraja Johor.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Saba’aton Daud.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata individu itu, ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya semalam.
Turut dirampas sebuah komputer riba miliknya.
“Jumaat lepas, polis Johor telah menerima satu laporan polis daripada orang awam ekoran kenyataan jelik di laman sosial Facebook berbaur hinaan terhadap Tunku Ismail, ” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Sehubungan dengan itu, Ayob Khan menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi bagi memuat naik kenyataan palsu bertujuan menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak atau tindakan tegas akan diambil.
— BERNAMA