Penyampaian maklumat mudah difahami rakyat cabaran besar kepada kerajaan – Abdullah

Penyampaian maklumat mudah difahami rakyat cabaran besar kepada kerajaan – Abdullah

KUCHING,. Penyampaian maklumat kepada rakyat dengan cara yang mudah difahami mereka khususnya komuniti luar bandar merupakan satu daripada cabaran besar dihadapi kerajaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol.

Beliau berkata, masyarakat perlu mendapatkan maklumat yang jelas mengenai cara kerajaan berfungsi, selain peranan wakil rakyat dalam menyampaikan maklumat.

“Kadang-kadang kita dapat maklumat yang tersebar menerusi media sosial, tetapi ia boleh disalah tafsir. Jadi, tugas kita adalah untuk memastikan rakyat faham tentang apa yang dilakukan oleh kerajaan, baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri,” katanya.

Berucap mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Karnival Kita MADANI Sarawak 2024, di sini, pada Sabtu, beliau berkata, banyak persoalan daripada rakyat mengenai inisiatif kerajaan yang perlu dijelaskan dengan sebaik mungkin.

“Kita perlu mendengar pandangan mereka, supaya dasar dan polisi kerajaan dapat memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.

Abdullah berkata, penganjuran Karnival Kita MADANI 2024 merupakan satu inisiatif yang bertepatan untuk merapatkan jurang antara masyarakat dan kerajaan, menerusi pengukuhan persefahaman dan peningkatan komunikasi dua hala.

Beliau berkata, program berkenaan bertujuan memperkenal dan mempromosikan konsep Masyarakat MADANI yang menjadi satu daripada matlamat utama kerajaan perpaduan dalam usaha membangunkan negara yang lebih maju dan harmoni.

Beliau berkata, konsep MADANI bukan sahaja berkisar kepada kemajuan ekonomi, tetapi juga pada pembinaan masyarakat yang berfikiran maju, beradab dan bersatu padu.

Program Karnival Kita MADANI 2024 dianjurkan oleh Jabatan Penerangan di Pusat Konvensyen Penview di sini dengan membabitkan agensi di bawah Kementerian Komunikasi di Sarawak dan jabatan serta agensi kerajaan lain.

Program dua hari itu turut menampilkan 24 pameran, 17 reruai daripada Komuniti MADANI yang mempamer dan menjual hasil kraf tangan serta produk makanan tempatan.

Satu sesi Town Hall Komuniti MADANI bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan 900 ahli Komuniti MADANI di Sarawak hari ini akan menjadi acara kemuncak karnival itu.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This