Penyanyi lagu ‘Memori Cinta Luka’ Nassier Wahab meninggal dunia

KUALA LUMPUR,. Penyanyi popular era 80-an yang terkenal dengan lagu ‘Memori Cinta Luka’ Datuk Nassier Wahab meninggal dunia pada pukul 12.45 pagi ini di Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Petaling Jaya di sini.

Berita berkenaan disahkan Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, pagi ini.

Berita pemergian penyanyi dengan nama sebenarnya Mohd Nasir Abd Wahab, 57, itu turut dimuat naik menerusi laman sosial dan Whatsapp dalam kalangan artis serta rakan karib Allahyarham.

“Seniman menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada industri muzik tanah air ekoran bakat serta kebolehan beliau.

“Seluruh kepimpinan tertinggi dan exco Seniman Malaysia serta ahli-ahli Seniman mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya.

Allahyarham sebelum ini turut popular dengan lagu seperti Bayangan Wajah Luka dan Sebuah Janji Tak Bererti.

Dimaklumkan, jenazah Allahyarham akan dimandikan di Masjid Batu Belah, Klang sekitar 8.30 pagi dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Belah di sini.

Allahyarham sebelum ini pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri pada 1 Jun lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )