Penyanyi veteran Singapura R. Ismail meninggal dunia

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 13 Sept — Penyanyi veteran Singapura R. Ismail meninggal dunia petang tadi di Hospital Besar Sengkang akibat komplikasi jantung.

Ketika dihubungi Bernama, anak sulung Allahyarham, Aslina berkata bapanya meninggal dunia pada 2.17 petang tadi selepas dimasukkan ke Hospital Sengkang pada Isnin lalu dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Memanggil bapanya dengan panggilan ‘Aba’, Aslina berkata jenazah kini berada di rumah adiknya, Iskandar di Choa Chu Kang dan akan dikebumikan esok pada 9 pagi di Pusara Aman, Choa Chu Kang.

Biduan R. Ismail atau nama sebenarnya Ismail Abdul Rahman, 83, sinonim dengan lagu seperti Gurindam Jiwa yang dinyanyikan bersama Allahyarhamah Rafeah Buang.

Beliau yang menetap di Malaysia dan pulang ke Singapura sekitar 2017, meninggalkan seorang isteri dan 11 anak.

Aslina menyifatkan bapanya seorang yang penyayang dan sangat rapat dengan keluarga dalam kesibukan sebagai penyanyi.

“Dalam kalangan rakan artis juga, Aba disayangi. Ramai rakan artis di sini yang datang ziarah dan rakan artis di Malaysia yang menghubungi.

“Jika COVID-19 semakin pulih dan sempadan dibuka, rakan artis di Malaysia menyuarakan hasrat untuk datang ziarah ke sini,” katanya.

Aslina turut memohon peminat penyanyi itu agar mendoakan supaya roh bapanya dicucuri rahmat.

Beliau turut memaklumkan bapanya meninggal dunia pada hari lahir ibunya yang ke-70 tahun, hari ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )